Pekerja

Hari ini adalah hari yang istimewa, di mana kita meraikan hampir 10.4 juta warga pekerja seluruh negara dan saya gembira dapat bersama-sama ribuan orang yang hadir pagi tadi di Majlis Sambutan Hari Pekerja 2017.

Alhamdulillah, sambutan Hari Pekerja di negara ini berlangsung dalam suasana aman, ceria serta sejahtera, tidak seperti di beberapa negara lain, yang sering dicemari dengan kontroversi, konfrontasi mahupun rusuhan. Inilah hebatnya semangat dan manifestasi keakraban, hubungan harmonis tripartite di antara pihak Kesatuan Sekerja, Majikan serta Kerajaan, yang terjalin kukuh lagi padu, bagi membolehkan negara terus mencapai pelbagai kejayaan.

Antara yang terbaru, melalui kajian BAV Consulting dan Wharton School, sebuah Firma Perunding dari Amerika Syarikat, telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara terbaik untuk melabur bagi tahun 2017, mengatasi 79 negara lain termasuk beberapa negara maju.

Dalam menempuh dunia yang semakin mencabar ini, saya teringat akan satu pepatah yang pernah disebut ahli falsafah Greek iaitu “the only constant is change” yang bermaksud antara perkara yang pasti adalah perubahan.

Setakat ini, kita dapat lihat bagaimana dunia telah melalui 4 fasa perubahan utama, bermula daripada enjin stim dalam Revolusi Perindustrian Pertama, kuasa elektrik dan pengeluaran mass production atau besar-besaran dalam Revolusi Perindustrian Kedua serta pengkomputeran dalam Revolusi Perindustrian Ketiga.

Kini, seluruh dunia berada di ambang gelombang Revolusi Perindustrian Keempat, yang datang dalam kombinasi pelbagai bentuk agen perubahan seperti teknologi maklumat, the internet of things, robotik, teknologi nano, task automation dan percetakan 3D. Ini telah menjadi ciri utama kepada Revolusi Perindustrian Keempat dan perkembangan seperti ini memberi implikasi kepada masa depan negara dan pekerja kita sendiri.

Ini termasuklah pewujudan dan penghapusan pekerjaan atau job displacement, peningkatan produktiviti buruh dan jurang kemahiran yang semakin meluas. Malah, berdasarkan kajian World Economic Forum yang merangkumi  65 peratus tenaga kerja dunia, kira-kira 7.1 juta pekerjaan berpotensi untuk hilang dalam tempoh 2015-2020, berikutan redundancy, automasi dan penghapusan peranan perantara atau disintermediation. We cannot change the future but we can prepare for the future.

Menurut kajian, kanak-kanak yang berada di sekolah rendah hari ini akan mengisi pekerjaan yang sebahagiannya tidak wujud lagi hari ini.

Justeru, pihak Kerajaan amat memandang serius akan perkembangan semasa ini, dan sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif dalam mendepani serta menangani hal tersebut. Kita akan terus mengenal pasti sumber pertumbuhan baru yang perlu dirancang dan dibangunkan.

Antaranya, menceburi dalam bidang Digital Economy atau Ekonomi Digital yang dianggap sebagai industry of the future. Melalui pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital atau DFTZ, yang menjadi hab ekonomi pertama di dunia di luar China pada 23 Mac yang lalu, dengan tumpuan diberikan terhadap pengembangan pasaran digital usahawan PKS dan usahawan muda. Tentunya, negara kita akan perlukan lebih ramai data professionals dan data scientists.

Contohnya, Kerajaan telah memperkenalkan program eUsahawan khusus kepada golongan belia. Menerusi program kerjasama antara Malaysia Digital Economy Corporation dan institusi latihan TVET, para belia berpeluang untuk meneroka serta mengembangkan ilmu perniagaan atas talian atau online business.

Insya-Allah, melalui usaha dan inisiatif seperti ini, Kerajaan menjangkakan, Ekonomi Digital mampu mewujudkan 60 ribu peluang pekerjaan baharu, sekaligus berupaya menyumbang lebih 20 peratus penghasilan kepada KDNK negara.

Malah, demi mempastikan daya saing dan survival masa depan negara, melalui Rancangan Malaysia Ke-11, pihak Kerajaan telah memberi penekanan kepada aspek inovasi dan produktiviti sebagai antara pemacu utama bagi menjana kekayaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi, dengan jangkaan 1.5 juta peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan.

Hal ini amat bertepatan dengan tema sambutan Hari Pekerja 2017 iaitu, “Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi”.

Berkait ini, maka kita bersyukur kepada Allah, menurut laporan Global Innovation Index 2016, Malaysia diiktiraf berada di kedudukan 35 daripada 128 buah negara paling inovatif di dunia. Hanya Malaysia dan China sahaja, dikategorikan sebagai “middle-income economies”, yang hampir menyertai kumpulan 25 buah negara yang inovatif lagi berpendapatan tinggi.

Bahkan, dalam The Global Competitiveness Report 2016-2017 pula, telah menyenaraikan Malaysia sebagai 19 kuasa ekonomi yang berada di dalam “transition”, yakni peralihan kepada kelompok kuasa ekonomi yang digelar sebagai “innovation-driven”.

Oleh yang demikian, bagi melahirkan pekerja yang kreatif lagi inovatif, demi membawa Malaysia memasuki gelanggang negara maju High Income Advanced Economy, Kerajaan telah dan sedang melakukan 5 Lonjakan Transformasi Pekerja seperti berikut:

Lonjakan Pertama: Mengutamakan Kebajikan dan Kesejahteraan para pekerja serta golongan mudah terjejas.

Sejak saya mengambil alih tampuk pemerintahan negara, bagi membela nasib golongan pekerja, khususnya mereka yang berpendapatan rendah untuk menikmati tahap hidup yang lebih baik dan sejahtera, beberapa inisiatif telah diperkenalkan antaranya;

a)    Dasar gaji minimum kebangsaan yang mula dilaksanakan pada tahun 2013. Untuk makluman semua, melalui pemeriksaan berkanun yang dijalankan ke atas lebih 121 ribu majikan mendapati bahawa, 98 peratus telah mematuhi dasar gaji minimum ini, dan baki 2 peratus lagi telah diberikan notis pematuhan. Bukan setakat itu sahaja, kerajaan turut menyediakan panduan kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan agar jurang gaji antara CEO dan pekerja tidak terlalu besar.

b)    Bagi menangani isu kos sara hidup rakyat, pihak Kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti BR1M, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Rumah Mampu Milik, PPA1M, PR1MA, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan pengangkutan awam yang moden tetapi berpatutan dari segi harga dan kosnya kepada golongan pekerja terutamanya B40 dan M40;

c)    Kerajaan telah memperluaskan pelaksanaan program mengiktiraf pengalaman dan kepakaran pekerja berkemahiran melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT). Sehingga kini, hampir 125,000 orang pekerja telah dipersijilkan dalam pelbagai bidang kemahiran, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup golongan ini ke tahap yang lebih baik;

d)    Pengiktirafan Persijilan Kemahiran Malaysia untuk memasuki Perkhidmatan Awam. Sejak 1 Julai 2016, Kerajaan telah membuka peluang kerjaya kepada pemegang dan graduan Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma  Lanjutan Kemahiran Malaysia, untuk menyertai sektor awam;

e)    Program ‘Kembali Bekerja’ atau ‘Return to Work’ yang dilaksanakan oleh PERKESO sejak tahun 2007. Untuk pengetahuan semua, inisiatif ini telah mencapai kejayaan melebihi 70 peratus, dalam membantu orang berinsurans yang ditimpa kemalangan untuk kembali semula bekerja. Malah, program ini telah diperkukuhkan lagi melalui penubuhan pusat Rehabilitasi PERKESO pada tahun 2014, yang mana saya telah lawat baru-baru ini di Melaka. Sehingga Mac 2017 sahaja, seramai 1,373 orang peserta telah menjalani pemulihan di pusat rehabilitasi paling komprehensif ini, yang merupakan satu-satunya di rantau Asia Tenggara.

Lonjakan Kedua: Mengoptimumkan modal insan, memperkukuh perancangan dasar dan sistem gaji.

Menyentuh modal insan ini, salah satu aspek yang Kerajaan telah berikan penekanan adalah, hal yang berkaitan tentang meningkatkan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara. Ternyata, usaha Kerajaan selama ini tidak sia-sia, apabila kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh telah meningkat hampir 10 peratus, daripada hanya 45.8 peratus pada tahun 2006, kepada 54.3 peratus pada tahun 2016, yang menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh keseluruhan, iaitu daripada 63.1 kepada 67.9 peratus bagi tempoh yang sama. Ini merupakan peningkatan yang amat bermakna sekali.

Saya juga berharap pihak swasta akan terus menyediakan persekitaran kerja yang kondusif kepada pekerja wanita. Hal ini termasuklah, mengkaji kemudahan cuti bersalin dan cuti paterniti kepada pekerja lelaki yang berkelayakan.

Untuk itu, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Maybank, yang membenarkan pekerja wanita untuk mengambil cuti bersalin sehingga tempoh setahun.

Selain itu, bagi mengatasi jurang pendapatan dalam masyarakat dan mengukuhkan sistem gaji dalam sektor swasta serta mempastikan peningkatan gaji sepadan dengan produktiviti, Kerajaan sedang giat mempromosikan amalan pelaksanaan Sistem Gaji Berasaskan Produktiviti atau PLWS. Setakat April 2017 sahaja, sebanyak hampir 81 ribu majikan telah menerima pakai PLWS yang melibatkan kira-kira 3.5 juta orang pekerja.

Kerajaan berharap agar, sasaran 85,000 majikan melaksanakan PLWS yang akan memanfaatkan kira-kira 3.7 juta pekerja menjelang tahun 2020, akan berjaya dicapai. InsyaAllah.

Di samping itu, Kerajaan juga sedang membangunkan Indeks Gaji Kebangsaan atau NWI, yang dijangka selesai pada Julai 2017 ini, berfungsi sebagai penanda aras bagi membantu majikan menentukan tahap gaji yang bersesuaian dengan kelayakan, kemahiran serta produktiviti pekerja.

Oleh itu, saya menyeru kepada majikan dan pihak industri supaya mengguna pakai PLWS dan NWI serta buku panduan gaji kerana, jika pekerja dibayar gaji yang setimpal dengan kelayakan, pengalaman dan produktiviti, sudah pasti daya saing industri akan turut meningkat.

Lonjakan Ketiga: Mengupayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal Dan Vokasional atau TVET yang diterajui industri

Bagi mempastikan pelajar mempunyai kepakaran yang relevan dengan kehendak industri, pembangunan dan penyampaian TVET akan diterajui oleh industri, melalui kerjasama institusi TVET dengan Kerajaan.

Kaedah ini telah terbukti, kerana lebih 80 peratus pelajar lepasan TVET berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Lonjakan Keempat: Memperkasakan agensi penyedia perkhidmatan pekerjaan awam

Kerajaan ketika ini sedang mengkaji semula peranan JobsMalaysia Centre, supaya lebih interaktif, efektif dan mesra pelanggan serta dapat berperanan aktif sebagai pemudahcara dalam menjalankan padanan pekerjaan antara pencari kerja dan majikan.

Saya telah mengarahkan supaya Job Fair @ UTC 2.0 tahun 2017 pada  20 Mei ini diadakan secara besar-besaran, di 11 buah UTC dan 4 buah Pusat JobsMalaysia seluruh negara. Dijangkakan sebanyak 20 ribu kekosongan jawatan akan ditawarkan oleh 300 majikan yang menyertai job fair tersebut. Saya juga ingin menyarankan majikan-majikan untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan jangan cari jalan mudah dengan memberi pekerjaan kepada warga asing.

Pada sudut lain, bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran supaya lebih ramai OKU bekerja, maka pada hari yang berbahagia ini, saya dengan sukacitanya ingin melancarkan inisiatif OKU Talent Enhancement Programme atau OTEP.

Lonjakan Kelima: Memperluaskan Perlindungan Keselamatan Sosial

Bagi mempastikan kira-kira 6.5 juta pekerja swasta tempatan yang sedia ada di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sentiasa terbela dan dilindungi, Kerajaan juga telah bersetuju untuk melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP. Melalui SIP ini, pekerja akan mendapat bantuan kewangan sementara untuk menyara hidup diri dan keluarga dalam tempoh tertentu semasa mencari pekerjaan baharu.

Selain bantuan kewangan, pekerja yang kehilangan mata pencarian juga akan diberi sokongan perkhidmatan pekerjaan, yang meliputi bantuan carian kerja, pemadanan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan latihan kerjaya untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

Tambahan lagi, bagi melaksanakan SIP ini, Kerajaan sedang memperhalusi draf Rang Undang-undang SIP, bagi pembentangan pada sesi persidangan Parlimen yang akan datang. Sesudah itu, barulah kutipan caruman akan dilaksanakan mulai Januari 2018, dan pemberian faedah kewangan dijangka dibuat mulai Januari 2019. Jadinya, SIP ini merupakan satu langkah jangka panjang, yang bertujuan untuk membantu golongan pekerja yang terjejas ibarat pepatah Melayu, ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pihak, khususnya para majikan untuk menyokong pelaksanaan SIP ini.

Makanya, sebagai sebuah Kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan warga pekerja, sebagai tambahan kepada peruntukan 52 juta ringgit yang disalurkan kepada PERKESO dalam RMK-10 lalu, saya sukacita mengumumkan bahawa, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak 70 juta ringgit kepada PERKESO untuk tujuan pembayaran faedah kewangan SIP pada tahun 2018.

Selain itu, semasa pembentangan Bajet 2017 yang lalu, saya telah mengumumkan geran pelancaran sebanyak 60 juta ringgit bagi melaksanakan Skim Bencana Kerja untuk pemandu teksi yang bekerja sendiri atau individu yang menjalankan aktiviti dan seumpamanya. Skim ini akan ditadbir urus melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Sebagai permulaan, skim ini akan memberi perlindungan kepada kira-kira 100 ribu orang, terdiri daripada para pemandu teksi yang bekerja sendiri dan individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya seperti Uber dan Grab Car, yang bakal dilaksanakan mulai 1 Jun 2017.

Kerajaan turut bercadang untuk memperluaskan liputan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri ini secara berperingkat-peringkat kepada kategori pekerjaan informal yang lain seperti para nelayan, petani, pekebun kecil, penjaja dan penggiat seni. Ini akan kita kaji secara mendalam. Melalui skim ini juga, orang berinsurans yang menjalankan pekerjaan sendiri, akan dilindungi sekiranya berlaku kemalangan semasa bekerja atau mengalami occupational disease, sebagaimana pekerja dalam sektor formal.

Oleh itu, bagi mendepani cabaran mendatang demi menjadikan Malaysia lebih kompetitif dan berjaya, kita perlu berusaha gigih untuk:

i)    Meningkatkan pekerja mahir dalam pasaran buruh, daripada 28 peratus pada tahun 2015 kepada 35 peratus pada tahun 2020.

ii)    Menaikkan produktiviti buruh daripada sekitar purata 2.3 peratus dalam RMK-10, kepada kadar purata sekitar 4 peratus bagi menjadi negara maju. Ini perlu kita beri tumpuan kerana peningkatan produktiviti kita masih belum sampai tahap yang disasarkan.

iii)    Meningkatkan nilaian ekonomi dan dagangan semasa negara daripada 1.3 trilion ringgit kepada 2 trilion ringgit dalam tempoh 7 hingga 8 tahun akan datang.

Selanjutnya, saya menyeru agar, warga pekerja di negara ini terus melipat gandakan usaha, untuk menjadi pekerja mahir yang kompeten, kreatif lagi berinovatif antaranya:

a)    Melatih diri menjadi multi-tasking, multi-skills dan multi-talented, supaya bukan sahaja mudah diterima oleh pasaran kerja, malah diiktiraf sehingga ke peringkat dunia.

b)    Mempertingkatkan kemahiran dan budaya kerja yang menyumbang kepada ‘high productivity’, ‘high value’, ‘high thinking’, ‘high skills’ untuk menjadi ‘high income workers’. Ini penting jika kita inginkan pendapatan yang lebih tinggi.

c)    Mempersiagakan diri untuk menjadi pekerja masa hadapan yang resilient, bagi mengharungi dunia baharu yang semakin mencabar.

Dengan itu, ayuhlah kita semua warga pekerja bersatu hati, berganding bahu dalam menjulang Malaysia menuju TN50 nanti, pada kedudukan negara 20 termaju di dunia. InsyaAllah.

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja Tahun 2017 kepada semua warga pekerja di seluruh Malaysia.

Hidup Pekerja!

Negaraku Malaysia!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here