Dipecat Kerana Pokemon Go

Hasil kajian yang dilakukan baru-baru ini amat mengejutkan dimana terdapat pekerja yang telah dipecat kerana Pokemon Go oleh majikan mereka.

Sejak ia mula dilancarkan pada Ogos lepas, permainan Pokémon Go telah mewujudkan satu fenomena permainan AR pada telefon pintar. Ia begitu banyak dimainkan oleh golongan belia dan remaja, sama ada, yang telah bekerja mahupun yang masih belajar.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), di samping menasihati pekerja-pekerja daripada bermain permainan tersebut semasa waktu bekerja, beberapa majikan turut bertindak mengeluarkan surat amaran dan mengenakan penggantungan kerja tanpa gaji terhadap pekerja mereka. Dalam satu kajian, 4 peratus daripada majikan telah membuang pekerja kerana bermain permainan Pokemon Go tersebut.

Kaji selidik itu mendedahkan bahawa majikan di Malaysia telah mengambil pendirian yang tegas terhadap permainan Pokémon Go ini dengan 95% berkata mereka tidak membenarkan pekerja untuk mengakses permainan tersebut di tempat kerja. Manakala terdapat 96% majikan melarang pekerja mereka daripada menggunakan alamat e-mel syarikat untuk mendaftar untuk permainan itu.

Satu perempat daripada penyelia pula telah menangkap pekerja sewaktu mereka sedang leka bermain permainan itu semasa waktu kerja dan 11% mengetahui bahawa pekerja mereka mengambil masa rehat makan tengah hari lebih lama untuk bermain permainan ini.

Sesetengah majikan juga mengambil langkah proaktif dengan 54% daripada responden meminta pengeluar permainan tersebut, Niantic Labs mengeluarkan PokéStops dan Gimnasium yang ada berhampiran pejabat atau tempat kerja mereka.

Ketagihan terhadap permainan tersebut dibimbangi akan menyebabkan para pekerja tidak akan dapat memberi perkhidmatan yang terbaik di tempat kerja.

Terdapat 5% daripada majikan mendapati pekerja mereka telah memasuki kawasan terhad syarikat semata-mata untuk menangkap Pokemon dalam permainan tersebut.

Walau bagaimanapun, sebaliknya, kira-kira 19% daripada majikan yang terlibat dalam kajian tersebut- terutama yang berada dalam industri makanan dan minuman – mendapati bahawa permainan ini adalah baik untuk perniagaan mereka.

“Kebanyakan majikan masih cuba untuk menilai keadaan. Adalah terlalu awal untuk kita menetapkan dasar standard untuk semua majikan mengenai Pokémon Go,” kata Datuk Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif MEF.

Beliau berkata lagi, walaupun permainan ini mula hambar berbanding apabila ia pertama kali dilancarkan, majikan harus mengambil pendirian yang tidak menggalakkan pekerja daripada bermain di tempat kerja supaya ia tidak akan menjejaskan prestasi kerja dan syarikat mereka. Beliau turut menasihatkan pekerja supaya tidak bermain permainan tersebut pada waktu pejabat bagi mengelakkan pekerja dipecat kerana Pokemon Go.

LEAVE A REPLY