soros
Foto oleh FMT

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap Majlis Peguam Malaysia kerana menerima dana daripada yayasan milik jutawan terkenal dunia George Soros, Open Society Foundation (OSF), kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurut ketua polis negara itu, badan itu disiasat di bawah Seksyen 124 C Kanun Keseksaan, sebagaimana dilaporkan Malaysiakini, semalam.

Lima anggota pasukan khas yang ditugaskan menyiasat Bersih 2.0 dan Malaysiakini di bawah undang-undang sama juga bertanggungjawab menyiasat Majlis Peguam.

“Sebaik sahaja siasatan selesai, kami akan mengemukakan penemuan kami kepada pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut,” kata beliau.

Seksyen 124C Kanun Keseksaan kesalahan bagi “percubaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen” yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun.

Awal minggu ini, sebuah jawatankuasa kecil di bawah Majlis Peguam mengaku menerima bantuan kewangan OSF bagi menjalankan penyelidikan mengenai pekerja asing di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Migran, Pelarian dan Imigresen, Datuk M. Ramachelvam berkata, ia menerima AS$15,000 (RM53,757.13) tahun lepas bagi membiayai projek yang sedang berlangsung.

Beliau berkata jawatankuasa mengetahui berkenaan OSF mengagihkan dana bagi komitmen sebegitu dan permohonan dibuat.

“Saya mesti menjelaskan wang itu tidak digunakan untuk kos operasi dan pentadbiran Majlis Peguam atau jawatankuasa,” katanya kepada FMT sebagai tindak balas kepada dakwaan blog yang Majlis Peguam berkemungkinan menerima bantuan kewangan daripada OSF.

Beliau berkata, wang itu digunakan membayar penyelidik, jurutranskrip, pengulas, perundingan dengan pihak berkepentingan dan perbelanjaan luar jangka.

LEAVE A REPLY