PAS Terengganu
Image via FMT

PETALING JAYA: PAS Terengganu bersedia untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu ekoran krisis yang melanda UMNO Terengganu, kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahri Mamat.

Beliau berkata ini mungkin akan berlaku jika ada beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) meninggalkan parti itu untuk menyertai pakatan pembangkang. Beliau berkata hanya persetujuan Sultan diperlukan untuk menukar kerajaan negeri tanpa perlu melalui mana-mana pilihan raya negeri.

“Jika Ahmad Said dan wakil rakyat BN yang lain telah hilang kepercayaan dalam gabungan itu, maka mereka perlu meninggalkan parti, bukan hanya bercakap dari dalam. PAS sudah bersedia untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri jika majoriti memihak kepada kami,” katanya.

Saiful yang juga ADUN Paka, berkata PAS juga bersedia untuk menghadapi BN jika pilihan raya negeri perlu diadakan, kerana ia adalah langkah yang terbaik dalam menyelesaikan krisis dalam pentadbiran Terengganu.

“Pendirian kami tetap sama. Ini adalah masalah dalaman Umno, jadi biarkan mereka menyelesaikannya. Jika Umno merasakan mereka sudah tidak boleh menyelesaikannya maka mereka perlu menyerahkan semula mandat tersebut kepada rakyat untuk memilih semula pemimpin mereka melalui pilihan raya negeri. Jika tidak, maka masalah ini akan mewujudkan situasi di mana rakyat sudah bosan dengan kerajaan sekarang.

“Kami juga bersedia sekiranya ada pilihan raya negeri,” katanya.

Krisis pentadbiran Terengganu, yang bermula pada 2014 selepas Ahmad Said terpaksa melepaskan kedudukannya kepada Menteri Besar sekarang Ahmad Razif Abdul Rahman, baru-baru ini tercetus kembali berikutan kritikan ADUN Kijal itu terhadap Menteri Besar dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebarang langkah untuk memecat Ahmad Said, menggambarkan seolah-olah dia sendiri telah keluar daripada Umno. Ini berkemungkinan akan memberikan kesan yang amat besar ke atas kedudukan semasa BN dalam dewan yang mana sekarang ini mempunyai 17 kerusi berbanding 15 kerusi pihak pembangkang.

Kedudukan Razif juga dikatakan berada di bawah tekanan yang berat berikutan kritikan yang dilemparkan terhadapnya oleh ahli Exco negeri Ghazali Taib, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil.

LEAVE A REPLY