Selangor
Foto hadapan oleh FMT

SHAH ALAM: PAS Selangor menepis laporan kajian dibuat firma Politweet kononnya parti Islam itu bakal kehilangan 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata walaupun mengakui parti berpontensi kehilangan kerusi namun yakin ia tidak sampai sebanyak itu.

“Dalam keadaan sekarang, memang kita terkesan tapi tidaklah sampai 8 kerusi kita hilang.

“Sebelum ini saya pernah jawab isu yang sama sebab ada orang kata PAS bekerjasama dengan Umno dalam isu persempadanan semula,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dalam laporan itu, Barisan Nasional (BN) dikatakan berpotensi merampas semula Selangor pada PRU14 dengan memenangi tambahan 11 DUN ekoran proses persempadanan semula yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

pas-selangor

Laporan itu turut menekankan yang PAS mungkin menjadi pihak paling banyak kerugian kerana berisiko hilang 8 DUN berbanding 13 pada PRU lepas.

Menurut simulasi PRU14 oleh firma kajian itu, BN mampu memenangi antara 17 hingga 23 kerusi daripada keseluruhan 56 DUN kerana peningkatan kerusi yang berisiko tinggi berbanding hanya memenangi 12 DUN pada PRU 2013.

Nada sama disuarakan Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman sambil mengakui kedudukan kerusi DUN milik PAS sedikit tergugat, namun ia tidak sampai kepada pertukaran tampuk pemerintahan kerajaan pimpinan pakatan ketika ini.

“Ada beberapa kerusi yang tergugat tetapi kita masih bertahan sebagai kerajaan negeri dan yakin kita sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY