pas
Foto hadapan oleh FMT

PETALING JAYA: PAS dan badan bukan kerajaan (NGO) diingatkan untuk berhenti menjadi pelampau kerana mereka adalah punca rakyat beragama lain mempunyai tanggapan salah terhadap Islam.

Ketua Pemuda MIC, C Sivarraajh berkata, tindakan parti pembangkang memanipulasi kenyataan menteri pendidikan mengenai isu sekolah kebangsaan terlalu Islamik dan Melayu sebenarnya bertujuan menghina agama lain.

Katanya, pendidikan paling penting buat masa depan sesebuah negara, oleh itu agama dan politik tidak patut dicampur adukkan dalam sistem pendidikan, sebaliknya penerapan nilai moral di kalangan pelajar lebih penting untuk meningkatkan kepelbagaian dalam masyarakat berbilang kaum.

“Subjek pendidikan Islam adalah penting, tetapi kita perlu memastikan guru menyampaikan ajaran sebenar dan tidak menyemai kebencian terhadap agama lain.

“Dengan menjadikan sekolah (kebangsaan) terlalu Islamik, pelajar agama lain akan dinafikan hak beragama mereka dan ini boleh menimbulkan banyak isu lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengisytiharkan kerajaan tidak akan membenarkan sekolah kebangsaan menjadi “terlalu Islamik” kerana Malaysia ialah negara Islam moden.

PAS
Prof Dr. Teo Kok Seong

Sebelum ini, bekas ahli Majlis Penasihat Pendidikan Negara, Prof Teo Kok Seong yang mendedahkan ibu bapa bukan Islam tidak selesa dengan unsur keagamaan di sesetengah sekolah, termasuk bacaan doa ketika perhimpunan sekolah.

Sivarraajh berkata, ramai yang salah faham Islam tidak boleh bertolak ansur dengan agama lain, tetapi hakikatnya Islam adalah agama paling aman dan melarang umatnya menganiayai penganut agama lain.

Beliau berkata, mereka yang cetek agama adalah orang yang takutkan pemodenan, manakala individu yang praktikal serta matang dari segi rohani tidak gentar terhadap perubahan dan akan berpegang kepada kepercayaan mereka.

LEAVE A REPLY