PAS Mahu

Badan-badan penting dalam negara digesa campur tangan dalam isu dakwaan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta wang SRC International daripada Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat gesaan itu terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN), “demi menjaga nama baik negara”.

“Sekiranya tuduhan itu benar, jawapannya ya, sekiranya tuduhan itu tidak benar, jawapannya tidak,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata untuk mempercepatkan siasatan, SPRM boleh berkongsi kertas siasatan mereka dengan Bank Negara dan LHDN.

“Sekiranya terdapat transaksi itu, di mana datangnya sumber duit itu dan apakah duit itu telah dibayar cukai?” katanya.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa perdana menteri membayar wang yang banyak itu menggunakan dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Menteri kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bagaimanapun berkata laman pendedah maklumat itu “tiada kewibawaan” dan beliau justeru tidak percaya terhadap dakwaan itu.

Dalam kenyataan hari ini, PAS juga menggesa Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membentangkan kertas siasatan terhadap dakwaan skandal SRC kepada umum.

“PAS yakin dua cadangan di atas pasti dapat membersihkan nama baik PM dan Shafee memandangkan peguam negara berkata kertas siasatan itu menunjukkan tiada kes untuk mendakwa PM,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here