Mahathir

KEENGGANAN Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk bersama-sama dengan gerakan tajaan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam menjatuhkan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat sesetengah pihak sebagai ‘kurang cerdik’ ketika sentimen rakyat terbanyak mula muak dengan kepimpinan sedia ada yang didakwa gagal menawarkan penyelesaian kepada beberapa isu yang menekan rakyat.

Kos sara hidup yang tinggi, kadar jenayah yang semakin berleluasa dan pembaziran wang rakyat umpamanya menjadi asbab mengapa sebahagian rakyat terutamanya golongan muda semakin ramai menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kegagalan kerajaan berfungsi dengan baik.

Atas faktor-faktor yang semakin menekan ini, blok pembangkang dilihat bijak memanfaatkan peluang dengan memainkan isu-isu ini bagi menyemarakkan lagi sentimen anti-kerajaan.

gst

Kebetulan dalam tempoh sebulan ini, pendatang baharu politik tanah air, Parti Amanah Negara (AMANAH) baru sahaja menyambut ulangtahunnya yang pertama di Muar, Johor pada minggu lalu, tidak lama selepas pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diluluskan secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 8 September 2016.

Kedua-dua pendatang baharu ini secara kasarnya menjadikan blok pembangkang semakin besar dengan kesatuan mereka diberikan nafas baharu oleh Mahathir melalui kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan PPBM.

Walau bagaimanapun, ketika PKR, DAP dan AMANAH mengimpikan pembaharuan sistem yang menyeluruh, hakikatnya hubungan mereka dengan PPBM pimpinan Mahathir hanya diikat satu sentimen serupa (anti-Najib) melalui Deklarasi Rakyat yang digerakkan bekas perdana menteri itu.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14, persoalan mula dilontarkan mengenai siapa sebenarnya pemimpin yang mahu diketengahkan pakatan ini?

Jika dahulu, PR jelas mempunyai pemimpin de facto Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibayangkan sebagai bakal PM pasca PRU-13. Situasi itu walau bagaimanapun tampak begitu berbeza sekarang. DSAI kini dalam tahanan penjara dan pembangkang pula kelihatan celaru dalam mengetengahkan pemimpin yang mempunyai ketokohan seperti Anwar.

Ironinya, dalam ucapan beliau di London baru-baru ini, Mahathir membayangkan Muhyiddin berkemungkinan menjadi perdana menteri sekiranya BN berjaya ditumbangkan pada PRU-14 kelak.

muhyiddin-bersatu

Apakah benar Ahli Parlimen Pagoh itu perdana menteri pilihan PH? Dan setelah berhempas pulas selama hampir dua dekad sejak wujudnya Barisan Alternatif (BA), sejauh mana pula PH bersedia menerima pemimpin dari parti setahun jagung (baca: PPBM) sebagai perdana menteri bayangan mereka?

Jika ini tidak menjadi petunjuk betapa Mahathir hanya mahu menggunakan PH untuk kepentingan politiknya, entah apa lagi yang mampu menyedarkan kepimpinan ketiga-tiga parti dalam pakatan itu. Benar, bilangan rakyat yang mahukan BN jatuh bukanlah sedikit. Tetapi kepimpinan PH juga harus bijak agar tidak terperangkap dalam politik acuan Mahathir.

Kehadiran Mahathir memberikan sokongan kepada Anwar dalam petisyennya melawan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini dilihat hanya satu manifestasi bagaimana Mahathir sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan politiknya. Najib yang dikecamnya hari ini adalah insan sama yang beliau mahukan sebagai pengganti Tun Abdullah setelah perdana menteri kelima itu teruk dikritik Mahathir. Dan hari ini, nasib sama menimpa Najib. Mahathir sedar, sekiranya Najib dibiarkan menang PRU nanti, karier politik beliau, anaknya Mukhriz serta legasinya akan terus terkubur dan lenyap.

Apalah gunanya PH berpakat menjatuhkan seorang perdana menteri sekiranya sistem yang dikatakan korup itu dikekalkan? Perlu diingat, Mahathir hanya bercakap tentang menjatuhkan Najib dan legasinya. Tidak pula kita mendengar kesungguhan Mahathir untuk mengubah sistem yang ada. Kenapa?

Sifirnya mudah, apa yang diwarisi Najib kini asalnya wujud di zaman Mahathir juga. Penyelewengan dan pembaziran wang rakyat, rasuah, kronisme dan pengenalan akta serta undang-undang yang dikatakan menakutkan orang awam bukan baharu saja diperkatakan rakyat, bahkan kesemuanya ini sudah menjadi ‘cakap-cakap’ sejak pentadbiran Mahathir lagi.

Walaupun tidak dinafikan ‘cakap-cakap’ itu masih lagi berterusan sehingga sekarang, realitinya Najib bukanlah satu-satunya pemimpin yang perlu dipersalahkan kerana hakikatnya beliau baharu sahaja memegang tampuk pemerintahan negara sejak tujuh (7) tahun lalu.

121

Mendedahkan ketempangan pentadbiran Najib tidak membuatkan rakyat lupa akan kepincangan pentadbiran terdahulu. Tidak semudah itu.

Dalam keadaan PH melihat Mahathir sebagai satu faktor kuasa politik baharu, di satu sudut yang lain, berdirinya PAS yang tetap berpegang teguh dengan prinsip politik Islamnya. Tidak sesekali parti itu terpengaruh dengan gerakan ‘gopoh’ Mahathir. Biarpun dilihat bersendirian, pandangan politik PAS agak terkehadapan. PAS sedar, menjatuhkan Najib bukanlah penyelesaian.

Hakikat reformasi sistem yang didambakan tidak akan terlaksana dengan hanya pertukaran seorang perdana menteri. Disebabkan itu, PAS memutuskan untuk tidak terburu-buru dalam jalannya menuju Putrajaya. PAS percaya sebarang jalan singkat ke arah itu, seperti himpunan Bersih 5.0 yang akan berlaku November ini umpamanya, tidak akan berkesan dalam menekan Najib untuk turun, apatah lagi menggulingkan sebuah kerajaan.

fist

PAS juga telah sedar bahawa mereka perlu lebih memilih dalam menentukan siapa rakan dan siapa pula lawan dalam pembawaan siasah Islami mereka. Ini pengajaran yang diperolehi parti itu setelah lama berdamping dengan PKR dan DAP. Motonya Istiqamah Hingga Kemenangan dipegang sungguh-sungguh biarpun kemenangan itu mungkin sahaja lewat dalam keadaan parti itu kini bersendirian.

Keputusan PAS untuk tidak bersama Mahathir dan PH bukanlah dibuat atas congakan politik yang cetek. Sejarah lama antara PAS dengan bekas perdana menteri itu terutamanya sejak peristiwa Memali sudah menjadikan PAS lebih matang dan mengenali siapa itu Mahathir. PAS tahu, mengikut telunjuk Mahathir bukanlah tindakan yang bijak kerana Mahathir yang sekarang masih lagi ‘dirinya’ yang dulu.

Shazana Fauzi adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

2 COMMENTS

  1. Macam ni analisis ‘penganalisis politik bebas’? Patut la bebas sebab no one is taking you seriously by stating the obvious and parroting what was already spinned.

LEAVE A REPLY