Sumber imej: FMT

Aktivis hak asasi Dr Kua Kia Soong hari ini berkata parti baharu naungan Tun Dr Mahathir Mohamad perlu ditolak kerana ia masih bersandarkan perkauman yang selama ini menjadi amalan Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Kua, yang merupakan pengarah kumpulan hak asasi Suaram, turut terkilan dengan pemimpin Pakatan Harapan dan beberapa pemimpin NGO yang mengalu-alukan parti baharu yang bersandarkan Melayu dan Bumiputera itu.

“Bolehkah mana-mana pemimpin badan sivil atau politik yang memperjuangkan perubahan di negara ini menerima sebuah parti politik yang hanya terbuka kepada ‘bumiputera’?” tanya Kua.

“Apakah mereka sudah hilang akal hanya kerana Mahathir membantah Najib?”

Beberapa bekas pemimpin Umno menubuhkan jawatankuasa penaja parti baharu yang namanya akan diumumkan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan menyerahkan permohonan untuk mendaftar parti baharu yang bersandarkan perkauman ‘bumiputera’ kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa terdekat. Sumber foto: facebook.com

Jawatankuasa itu melantik bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden, dan Dr Mahathir sebagai pengerusi. Beberapa bekas pemimpin kanan Umno termasuk ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, turut menganggotai jawatankuasa itu.

Bekas naib ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata beliau tidak berminat untuk menyertai parti baharu kerana tidak mempunyai cita-cita politik tetapi akan meneruskan perjuangan melawan penyelewengan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) khususnya. Sumber foto: FMT

Sebelum ini, bekas naib ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata parti baharu itu akan berkonsepkan Melayu kerana tidak mahu bersaing dengan parti pembangkang lain yang berbilang bangsa.

Kua berkata perkauman dan diskriminasi berasaskan kaum sudah lama menjadi sebahagian daripada realiti politik dan ekonomi Malaysia.

 “Bolehkah mana-mana pemimpin badan sivil atau politik yang memperjuangkan perubahan di negara ini menerima sebuah parti politik yang hanya terbuka kepada ‘bumiputera’?” tanya Kua. Sumber foto: UtusanOnline

Katanya perkauman juga diinstitusikan sehinggakan ia menjadi pertimbangan dalam menggubal dasar sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya.

Menurut Kua, mereka yang mahu mereformasi sistem sedemikian perlu berpegang teguh dengan dasar Perlembagaan Persekutuan memberikan hak sama rata kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum.

“Parti berasaskan kaum seperti Umno, MCA dan MIC sudah ketinggalan zaman dan melangkau tarikh tamat mereka.

“Mana ada pada zaman ini parti politik yang terhad kepada satu kaum?” tanya Kua.

LEAVE A REPLY