hyundai
Foto oleh FMT

KUALA LUMPUR: Sime Darby yang merupakan pengedar jentera pembinaan Caterpillar dan kereta Hyundai di Malaysia digesa memberi tekanan kepada kedua-dua syarikat itu untuk berhenti bersekongkol dengan aktiviti perobohan rumah milik penduduk Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Gesaan itu dibuat pertubuhan Boycott Divest Sanction (BDS) melibatkan lebih 170 badan sivil dan hak asasi seluruh dunia, yang menganjurkan pemulauan, pelupusan saham dan sekatan dalam membela hak kemanusian rakyat Palestin.

“Syarikat-syarikat tersebut hendaklah memastikan bahawa jentera yang mereka keluarkan tidak akan digunakan oleh Israel untuk menzalimi rakyat Palestin dan mencabuli hak asasi mereka,” kata Pengerusi BDS Malaysia, Dr Mohd Nazari Ismail, dalam suratnya kepada Ketua Eksekutif Sime Darby Berhad, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

sime darby
Ketua Eksekutif Sime Darby Berhad, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Beribu-ribu kediaman milik penduduk Palestin di wilayah bergolak itu dimusnahkan regim Israel bagi membina penempatan pendatang Yahudi.

Menurut BDS yang baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Bakke, jentera yang paling kerap digunakan untuk tujuan itu ialah yang dibekalkan syarikat Caterpillar dan Hyundai.

“Aktiviti tidak berperikemanusiaan ini kadangkala dilakukan walaupun penghuni masih berada di dalam rumah. Ini sering mengakibatkan kematian.

“Di samping itu, jentera tersebut juga digunakan untuk membina ratusan penempatan haram Israel di atas tanah yang dirampas secara haram dari rakyat Palestin,” kata Nazari.

Beliau menggesa Sime Darby memberi tekanan kepada Caterpillar dan Hyundai memutuskan hubungan dengan rejim Israel.

Usaha BDS disokong pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, majlis perbandaran dan penggiat seni di seluruh dunia.

Antara universiti dan ahli akademik yang menyokong boikot yang dianjurkan BDS termasuk di Afrika Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Sweden, Ireland, Brazil, Belgium dan Itali.

Mereka termasuk pakar fizik terkenal, Stephen Hawking.

Selebriti lain yang turut menyokong BDS termasuk ahli kumpulan Pink Floyd, Roger Waters, pelakon Russel Brand dan Meg Ryan, serta penyanyi One Direction, Zayn Malik.

BDS diinspirasikan oleh kejayaan boikot dan sekatan ekonomi ke atas regim apartheid di Afrika Selatan pada 1980-an, sehingga memaksa perubahan di negara itu yang akhirnya menamatkan sistem perkauman menindas penduduk kulit hitam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here