KWSP

ADAKAH Pakatan Harapan yang diketuai DAP kini semakin ketandusan isu?

Ini kerana, tiga pemimpin pakatan itu sebelum ini bertindak menyerang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452).

Serangan itu hanya disebabkan oleh KWSP mengumumkan dividen 5.70 peratus bagi 2016 menurun berbanding 6.4 peratus pada 2015.

Sejak krisis ekonomi 1999 lagi, dividen KWSP di bawah dua orang Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak tahun 2000 adalah pada kadar sederhana.

Empat tahun terakhir ketika pemerintahan Mahathir, dividen KWSP adalah sebanyak 6 peratus, 5 peratus, 4.25 peratus dan 4.5 peratus.

Sementara itu, semasa tempoh perkhidmatan Abdullah pula menyaksikan pulangan dividen sebanyak 4.75 peratus, 5 peratus, 5.15 peratus, 5.8 peratus dan akhirnya 4.5 peratus pada tahun 2008.

Dalam tempoh dua tahun pertama selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pemerintahan negara, dividen yang diberikan adalah 5.65 peratus dan 5.8 peratus pada 2009 dan 2010.

Selepas itu, pemberian dividen menjangkau lebih daripada 6 peratus bagi tempoh 2011 sehingga 2015 dan menurun kepada 5.70 peratus pada 2016.

Kadar dividen 5.70 itu membabitkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion, pencapaian yang baik sebenarnya walaupun berdepan dengan keadaan pasaran yang sukar.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pihaknya gembira kerana berjaya mengatasi dua sasaran pelaburan KWSP secara konsisten iaitu untuk mengisytiharkan kadar dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun dan kadar dividen sebenar melebihi inflasi sekurang-kurangnya 2.0 peratus bagi purata bergerak tiga tahun.

Jelasnya, sebagai sebuah dana simpanan persaraan, KWSP sentiasa memberi penekanan terhadap pulangan yang mampan untuk jangka panjang berbanding pulangan jangka pendek.

Tegasnya, ia merupakan satu pencapaian yang baik walaupun berhadapan dengan keadaan pasaran yang sukar.

Jelas sekali, bagi 2016, dividen sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus iaitu 183 mata asas melebihi sasaran.

Pakatan Harapan pula menerusi kenyataan Dr. Dzulkefly Ahmad (PAN), Wong Chen (PKR) dan Teresa Kok (DAP) berpendapat tindakan KWSP mengisytiharkan kadar dividen lebih rendah berbanding 6.4 peratus pada 2015 tersasar dengan hasrat kerajaan yang mahu rakyat mempunyai nilai simpanan yang tinggi pada hari tua.

Entah apa alasan, Pakatan Harapan melihat bahawa penurunan dividen itu berpunca daripada pelaburan KWSP di dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM1.72 bilion.

Ia sekali gus permulaan gesaan Pakatan Harapan supaya KWSP segera melupuskan pegangan dan pelaburan dalam 1MDB terutamanya dalam bon-bon bagi melindungi kepentingan pencarum.

Dakwa mereka, KWSP kini berdepan masalah kewangan yang akhirnya memberi kesan kepada pencarum dan pendepositnya.

Alasan mereka, pelaburan KWSP sebanyak RM1.72 bilion adalah satu jumlah yang besar dan mendakwa dana itu adalah simpanan wang rakyat yang diuruskan oleh KWSP.

Persoalannya di sini, apa kaitan 1MDB dengan penurunan dividen KWSP?

Pada tahun 2000 sehingga 2008, 1MDB masih tiada tetapi dividen rendah dan pada 2009 hingga 2016, 1MDB sudah wujud dan tetapi dividen diberikan tetap tinggi.

Sehubungan itu, kenapa Pakatan Harapan menyerang KWSP?

Adakah disebabkan KWSP mempunyai bilangan ahli yang ramai dan tujuan Pakatan Harapan untuk membangkitkan kemarahan ahli kepada kerajaan?

Siapakah ahli KWSP?

Ahli KWSP terdiri daripada pekerja sektor swasta dan pekerja tidak berpencen sektor awam.

Sehingga September 2016, KWSP mempunyai seramai 14.72 juta ahli.

Bilangan ahli aktif dan masih mencarum adalah seramai 6.83 juta dan bilangan majikan aktif pula seramai 541,503.

Adakah sejak ditubuhkan pada 1991, KWSP merupakan institusi yang gagal?

Jika gagal, KWSP tidak akan mampu merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM11.79 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2017, iaitu peningkatan 73.9 peratus berbanding RM6.78 bilion pada suku sama tahun 2016.

Pelaburan luar negara KWSP merangkumi 29 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan dan telah menyumbang 37 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku pertama 2017.

Setakat Mac 2017 sahaja, sebanyak 49.08 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang terus menyumbang kepada pendapatan yang stabil dan konsisten.

Suku tahun pertama menyaksikan pelaburan pendapatan tetap mencatat RM4.07 bilion iaitu 34.6 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahun.

Pada 2017, selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), KWSP mencatatkan rugi terjejas bersih lebih rendah tahun ini, daripada RM1.64 bilion kepada RM775.92 juta, iaitu penurunan sebanyak RM865.08 juta berikutan peningkatan di kesemua pasaran utama.

Nilai aset pelaburan KWSP pula mencecah RM747.17 bilion, naik 2.20 peratus atau RM16.06 bilion dari 31 Disember 2016.

Daripada jumlah aset pelaburan tersebut, sebanyak RM352.73 bilion dilaburkan dalam aset patuh syariah, manakala selebihnya dilaburkan dalam aset bukan patuh syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, prestasi simpanan syariah dan simpanan konvensional adalah tertakluk kepada prestasi pasaran, menjadikan jurang perbezaan jangka pendek antara kedua-dua akaun tersebut sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Jelasnya, dalam jangka masa panjang, prestasi antara kedua-dua akaun adalah sama kerana strategi pelaburan yang dilaksanakan adalah sama bagi kedua-dua akaun.

Beliau turut menegaskan, KWSP akan tetap memberi fokus dalam mencapai sasaran dividen sebenar tidak kurang daripada dua peratus selepas inflasi untuk purata tiga tahun berturut-turut bagi kedua-dua simpanan syariah dan simpanan konvensional.

Pengumuman terbaharu Shahril Ridza itu pastinya memberikan gambaran serta bukti kepada Pakatan Harapan bahawa KWSP bukan institusi yang gagal.

Penurunan pertumbuhan di Malaysia pada 2016 dan hakikat bahawa aset pelaburan KWSP kini melebihi RM700 bilion, dividen 5.7 peratus itu adalah satu pencapaian yang membuat kebanyakan penganalisis memuji KWSP.

Jadi, kenapa Pakatan Harapan mendakwa KWSP mempunyai masalah kewangan?

Sudah tentu Pakatan Harapan mempunyai agenda mereka yang tersendiri.

Apakah agenda itu? Tidak lain tidak bukan sengaja mahu memburukkan negara di mata masyarakat dan dunia.

Rakyat sebenarnya tahu dan pasti dapat menilainya sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here