Ong Kim Swee
Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiada lain yang dituntut pengendali skuad negara Datuk Ong Kim Swee selain kemenangan menentang Papua New Guinea dalam aksi persahabatan hari ini bagi menyuntik moral pasukan menjelang aksi Piala Suzuki AFF 2016.

Menurut Kim Swee, perlawanan ini medan terbaik mengenal pasti kesebelasan utama selain menilai hasil daripada latihan sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar, Rabu ini.

Selepas gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut apabila sekadar seri tiga kali dalam aksi persahabatan antarabangsa dan menang 4-3 ke atas skuad bawah 22 tahun negara dua hari lalu, Harimau Malaysia perlu mencipta kemenangan untuk meraih keyakinan penyokong.

“Saya fikir perlawanan ini adalah aksi terbaik mengukur tahap permainan pasukan kerana Papua New Guinea mempunyai fizikal yang baik selain mereka pernah menewaskan kami Jun lalu.

“Tetapi, saya akui bukan mudah menentang mereka selain pemain perlu menunjukkan aksi terbaik di atas padang,” katanya.

Malah, kata Kim Swee, dia mahu melihat pemainnya menggunakan peluang terhidang dengan baik dan tidak mahu barisan serangan gugup di depan gol seperti mana yang berlaku dalam perlawanan sebelum ini.

“Apa yang saya mahu lihat adalah corak permainan yang lebih teratur tidak kira di bahagian serangan ataupun di benteng pertahanan.

“Dalam beberapa sesi latihan, corak permainan tersebut telah cuba diperbaiki dan kesannya akan saya lihat esok (hari ini),” kata pengendali berusia 45 tahun itu.

Sementara itu, Kim Swee tidak mahu melayan komen negatif sesetengah peminat bola sepak negara terhadap pasukan kendaliannya dan mahu kritikan itu disuarakan selepas berakhirnya Piala AFF Suzuki nanti.

“Saya tidak peduli dengan kritikan ini kerana bagi saya, penyokong yang sejati ialah mereka yang kekal memberi sokongan biarpun pasukan itu tewas. Kalau nak kritik, kritiklah saya selepas Piala AFF nanti…saya sedia terima segala kritikan untuk kebaikan bola sepak negara.

“Aksi menentang PNG ini bukan mudah…saya mahu melihat pergerakan yang lebih teratur bukan sahaja ketika menyerang tetapi perlu lebih berdisiplin dan terurus ketika bertahan juga. Saya perlu menggilap segala kelemahan ini sebelum bertemu Kemboja pada Ahad depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat koordinasi perlawanan persahabatan menentang PNG, di Wisma FAM di sini, Ahad.

Jurulatih berasal dari Melaka itu juga tidak berhasrat memanggil mana-mana pemain tambahan dalam senarai 25 pemain yang sedang menjalani latihan pusat, berikutan kecederaan pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimi Pee.

Senarai akhir 23 pemain untuk mengharungi Piala AFF di Myanmar akan diumumkan pada Selasa ini, selepas mengambil kira prestasi pemain pada aksi menentang PNG, esok.

Sementara itu, jurulatih PNG, Flemming Serritslev yang menjangkakan cabaran sengit dari Malaysia, meletakkan harapan kepada penyerang lincahnya, Tommy Semmy yang meledak dua gol ketika menewaskan Harimau Malaysia 2-0 sewaktu Jelajah Ocenia Jun lalu.

PNG tidak bermain dalam sebarang aksi kompetitif selepas pertemuan dengan Malaysia kerana semua kemudahan bola sepak negara itu ditutup untuk persediaan Piala Dunia Wanita Bawah 20 tahun yang dianjurkan mereka mulai hari ini.

“Pasukan ini tidak berada pada tahap fizikal terbaik seperti pertemuan pertama dulu dan ini terbukti apabila kami tewas 1-8 dalam perlawanan persahabatan menentang Iran tiga hari lepas,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia pernah membelasah PNG 10-1 pada aksi persahabatan pada 1976 dan 5-1 pada 1984, sebelum tewas dalam perlawanan kali ketiga itu.

LEAVE A REPLY