OECD
OECD menasihatkan Putrajaya untuk beransur-ansur mengurangkan pengecualian dan kemudian menaikkan kadar GST serta meningkatkan cukai pendapatan - Foto oleh AFP

Pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan adalah inisiatif terbaik bagi melindungi Malaysia daripada keadaan ekonomi yang tidak menentu, ujar pegawai daripada Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), hari ini.

“Kami berfikir bahawa pembaharuan dan pengenalan GST amat penting bagi Malaysia kerana satu sebab mudah, komoditi terdedah kepada turun naik harga minyak dan menyebabkan pendapatan negara jatuh,” kata Pengarah Jabatan Kajian Ekonomi Negara OECD, Alvaro Pereira pada satu sidang akhbar.

Tanpa cukai seperti GST, ia akan menjadi sukar bagi Malaysia untuk bertahan dalam keadaan kekurangan pendapatan, katanya.

“Itulah sebabnya ia begitu penting dan kami memuji keberanian kerajaan untuk memperkenalkan GST.

“Adalah sangat penting untuk terus berusaha menyelesaikan masalah (kekurangan pendapatan) ini terutamanya untuk mengurangkan impak daripada kejatuhan harga minyak,” katanya.

Pereira sebelum itu menghadiri dua pembentangan OECD mengenai Malaysia kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa di Kementerian Kewangan di sini. Pembentangan itu masing-masing bertajuk Survei Ekonomi: Malaysia 2016 dan Ulasan OECD Terhadap Dasar Inovasi: Malaysia 2016.

Dalam laporannya, OECD menasihatkan Putrajaya untuk beransur-ansur mengurangkan pengecualian dan kemudian menaikkan kadar GST serta meningkatkan cukai pendapatan “sepanjang tempoh sederhana”.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan OECD, Ali hanya berkata kerajaan akan mengkaji kesan untuk jangka masa panjang, tetapi menegaskan bahawa kadar GST akan kekal tidak berubah untuk masa ini.

LEAVE A REPLY