PR
Foto hadapan oleh FMT

PETALING JAYA: Bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat awal-awal lagi melihat perpecahan akan berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana gabungan itu semakin lemah.

Anak bekas menteri besar Kelantan itu, Nik Mohamad Abduh yang dipetik Oriental Daily berkata, dasar kerjasama PR adalah mencapai persetujuan berhubung masalah yang timbul dan jika tidak dapat diselesaikan, mereka perlu mengelak menjadikan masalah itu semakin besar.

“Ayah tahu Pakatan Rakyat semakin lemah, kerana DAP menentang agenda PAS, malah enggan bertolak ansur dan bertindak kasar,” kata Nik Abduh.

Ketua Pemuda PAS itu berkata, DAP adalah parti yang mempunyai agenda tersembunyi dan ia juga adalah punca PAS serta parti itu tidak dapat bekerjasama untuk jangka panjang.

“DAP tidak boleh menerima ajaran Islam sebenar, tetapi mereka mendakwa boleh terima Islam dan inilah agenda tersembunyi yang saya maksudkan,” katanya sambil menambah DAP hanya mahu memahami dan menerima Islam berdasarkan skop mereka.

Tegasnya, jika DAP berhasrat mengajak PAS kembali ke meja rundingan bersama Pakatan Harapan (PH), parti itu perlu mengakui parti Islam itu bukan punca PR dibubarkan.

“Berdasarkan situasi politik sekarang, saya berpendapat DAP tidak dapat terima syarat itu kerana ia adalah sebuah parti yang cepat melatah dan pentingkan diri,” katanya sambil menambah DAP tidak perlu menerima ideologi politik PAS, sebaliknya mereka hanya perlu menghormati parti Islam itu.

pr
Amanah didakwa mengkhianati perjuangan PAS

Jelasnya, amat sukar untuk PAS dan DAP duduk semeja, Amanah lebih teruk kerana mereka mengkhianati PAS.

Menurutnya, ayahnya juga menjangkakan PAS akan berdepan krisis disebabkan perpecahan dalam parti Islam itu sendiri.

“Beliau juga dengan jelas meminta ahli terus menyokong pucuk pimpinan parti. Media pernah melaporkannya dan semua orang tahu perkara ini,” katanya sambil menepis dakwaan perjuangannya tersasar daripada matlamat ayahnya, sebaliknya segala tindakannya sama dengan ayahnya.

Beliau berkata, disebabkan PAS memilih untuk tidak menyertai PH, maka parti Islam itu didakwa menyokong Barisan Nasional.

“Mengikut kefahaman saya, PAS tidak pernah berunding dengan Umno berhubung pembahagian kerusi, yang ada hanyalah menyusun semula persiapan cawangan untuk menentang Umno,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Abduh menolak dakwaan mereka 10 beradik bergaduh, sebaliknya beliau berkata, hubungan mereka amat baik dan sering berjumpa.

“Hanya kakak sulung tinggal di Kuala Lumpur, manakala yang lainnya tinggal di Kelantan, jadi kami sekeluarga dan adik-beradik akan berkumpul setiap minggu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here