Nico Rosberg

Nico Rosberg akhirnya menjuarai Kejohanan Dunia Formula 1 buat julung kalinya selepas menamatkan GP Abu Dhabi yang merupakan medan terakhir perlumbaan musim ini di tempat kedua.

Meskipun rakan sepasukan dan juga pencabar terdekat kejuaraan, Lewis Hamilton, muncul pemenang di litar Yas Marina itu namun pemandu Britain tersebut gagal mengatasi defisit mata Rosberg sekaligus terpaksa akur gagal mempertahankan kejuaraan dimenanginya musim lalu.

Nico dan ayahnya Keke Rosberg — dinobat juara dunia pada tahun 1982 — muncul kombinasi ayah-anak kedua dalam sejarah sukan itu yang berjaya muncul juara dunia Formula 1.

Sebelum mereka, Graham dan anaknya Damon Hill merupakan satu-satunya gandingan ayah dan anak yang pernah menjuarai Formula 1.

Hamilton mendahului sejak di awal pusingan dengan Rosberg selesa mengekori rapat di tempat kedua namun tercetus insiden di selekoh pertama apabila pemandu Red Bull, Max Verstappen terbabas susulan berlanggar dengan jentera Force India yang dipandu Nico Hulkenberg.

Bagaimanapun, Verstappen masih meneruskan pemanduan meskipun ketinggalan di belakang.

Kevin Magnussen, Valeri Bottas, Daniil Kyvat, Carlos Sainz dan Jenson Button sertai senarai pelumba yang gagal menamatkan perlumbaan di litar Yas Marina.

Sementara itu, Button — yang mengalami masalah jentera memasuki pusingan ke-13 — menerima penghormatan terakhir daripada penyokong setianya susulan bakal mengundurkan diri di akhir musim ini.

Walaupun ditawarkan kontrak sehingga musim 2018, namun pelumba berusia 36 tahun itu menegaskan masanya sudah tiba untuk undur diri.

Ketika kedua-dua pelumba Mercedes memasuki pit, kedua-duanya kehilangan masa berharga apabila terpaksa menunggu dua pelumba Ferrari memasuki pit sekaligus menyebabkan Rosberg ketinggalan di belakang Verstappen sebaik meninggalkan pit.

Namun, selepas beberapa pusingan, Rosberg kembali memintas Verstappen memasuki zon DRS.

Selepas Hamilton dan Rosberg memasuki pit buat kali kedua, kedua-dua pelumba tersebut ketinggalan di belakang pemandu Ferrari, Sebastian Vettel yang buat sementara waktu mendahului perlumbaan sebelum memasuki pit di lewat perlumbaan.

Memasuki pusingan 10 terakhir, Hamilton mempamerkan pemanduan kemas untuk memastikan dia muncul pemenang di Abu Dhabi sementara Rosberg muncul juara dunia.

Vettel yang sempat memintas Verstappen memasuki baki tiga pusingan terakhir berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

LEAVE A REPLY