New Zealand

LONDON: Juara dunia New Zealand atau lebih dikenali sebagai All Blacks telah dinobatkan sebagai pasukan terbaik pada Anugerah Ragbi Dunia di sini, semalam. Sekaligus mengecewakan saingan terdekat iaitu pasukan ragbi Fiji yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio baru-baru ini.

Walaupun All Blacks kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Dan Carter dan Richie McCaw selepas kemenangan ke atas Australia pada saingan Piala Dunia tahun lalu, mereka mengekalkan rentak untuk menjuarai Kejuaraan Ragbi.

Sepanjang proses itu, mereka turut mencipta rekod dunia dengan memenangi 18 perlawanan antarabangsa (Test) berturut-turut.

Deretan kemenangan itu bagaimanapun ditamatkan Ireland yang menewaskan New Zealand 40-29 di Chicago bulan lalu, tetapi mereka bangkit dengan membelasah Itali dan berpeluang membalas dendam ke atas Ireland dalam pertemuan di Dublin Sabtu ini.

Pengendali New Zealand, Steve Hansen turut dinobat sebagai jurulatih terbaik buat kali keempat dalam tempoh lima tahun pada Anugerah Ragbi Dunia diadakan.

Jurulatih 57 tahun itu, yang menggantikan Graham Henry apabila ketua jurulatih itu meletak jawatan selepas kejayaan Piala Dunia 2011, berjaya mengimbangi kekosongan skuad selepas Carter dan McCaw bersara dari arena antarabangsa. – AFP

LEAVE A REPLY