Negeri Sembilan

PORT DICKSON, 10 Nov — Promosi produk dan penganjuran pelbagai program pelancongan berjaya menempatkan Negeri Sembilan di tempat ketiga bagi kemasukan pelancong domestik tertinggi di Malaysia bagi tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Negeri Sembilan Datuk Tun Hairudin Abu Bakar berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2015, menunjukkan kemasukan pelancong domestik ke negeri ini adalah seramai 6.1 juta orang manakala Perak tempat pertama (7.96 juta).

“Ini merupakan peningkatan bagi sektor pelancongan di negeri ini apabila kami berjaya berada di kedudukan ketiga teratas… jika dibandingkan tahun-tahun sebelum ini kedudukan lima teratas pun kami tidak tersenarai.

“Ini juga menunjukkan segala aktiviti, program dan produk yang kami adakan serta promosi dibuat telah mula menunjukkan hasilnya dan memberi impak positif,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup perlumbaan Shemud 2016 di sini.

Tun Hairudin berkata dalam usaha memperbaiki kedudukan Negeri Sembilan ke peringkat yang lebih baik, pelbagai program telah diatur dan akan dilaksanakan termasuk agenda satu daerah, satu produk pelancongan.

“Kerajaan negeri telah arahkan agar setiap daerah adakan program yang ada impak pelancongan. Di Negeri Sembilan terdapat 62 produk pelancongan, jadi daripada jumlah itu kami akan kenal pasti mana yang boleh menarik kedatangan pelancong dan kami akan perkukuhkannya.

“Kami mahu setiap daerah dapat memainkan peranan mereka dalam mempromosikan produk pelancongan negeri ini sekali gus kami juga mahu setiap daerah ada pemilikan terhadap produk mereka,” katanya.

Sementara itu, juara perlumbaan Shemud 2016 bagi kategori Shemud Class (hardcore) dinobatkan kepada Guila Maroni dan Barbara Naldoni dari Itali selepas mengalahkan pesaing terdekat mereka Denisa Pappova dan Petra Vavrova dari Republik Czech yang mendapat tempat kedua.

Sementara itu, bagi kategori Speed Class (light), peserta Malaysia berjaya merangkul tiga tangga teratas iaitu bagi tempat pertama dimenangi Ezuin Esa dan Rika Ismail.

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh pasangan Fauziah Muhamad Nor dan Nazahiyah Mohd Hidzir serta Suraya Muhamad Nor dan Nurul Ain Hairudin.

LEAVE A REPLY