Sasaran kerajaan untuk merealisasikan status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, masih dalam jangkauan berdasarkan had Pendapatan Negara Kasar (PNK) Bank Dunia sebanyak US$12,476 bagi 2015, kata Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata tahun lepas, PNI perkapita Malaysia meningkat kepada RM36,078 (US$8, 409) dan tahun ini kerajaan mengunjurkan RM37,812 (US$9,222) dan terus meningkat kepada RM39,699 (US$9,474) pada 2017.

“Saya yakin ini (sasaran) masih dalam jangkauan meskipun wujud jurang yang besar.

“Juga diharapkan, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) apabila disahkan, akan menyediakan manfaat yang lebih besar kepada Malaysia berbanding cabaran, dalam membantu melonjakkan Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi,” katanya pada Siri Syarahan Kewangan Antarabangsa Labuan 2016 mengenai Usaha Sama Ekonomi di sini Jumaat.

Abdul Wahid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Analisis Kepentingan Negara (NIA) yang disediakan oleh Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (ISIS) memuktamadkan bahawa penyertaan Malaysia dalam TPP merupakan kepentingan negara.

“Wujud keraguan sama ada TPPA akan menjadi kenyataan berdasarkan pendirian yang diambil oleh dua calon Presiden Amerika Syarikat. Saya bukan dalam kedudukan untuk membuat spekulasi apa yang akan berlaku selepas 8 Nov 2016. Kita serahkan kepada rakyat Amerika untuk membuat keputusan,” katanya.

Dalam ucapannya, Abdul Wahid berkata Malaysia memperoleh manfaat besar hasil penyertaanya dalam pelbagai perkongsian ekonomi, sama ada menerusi perjanjian perdagangan dua hala, serantau dan pelbagai hala.

“Sama pentingnya perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang sedang dilaksanakan oleh Malaysia dan ASEAN besama beberapa negara pilihan, dan tidak terhad kepada liberalisasi dan dan pasaran terbuka sahaja,” katanya.

Malah, ia memang menyeluruh dan meliputi pelaburan, memudahkan perdagangan, hak harta intelek (IPR) serta kerjasama ekonomi dalam bidang seperti dasar persaingan, standard dan pematuhan, teknologi maklumat dan komunikasi, sains dan teknologi, pendidikan dan latihan, penyelidikan dan pembangunan, kerjasama kewangan serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.

Setakat ini, katanya Malaysia telah menjalin FTA dengan Jepun, Pakistan, New Zealand, India, Chile dan Australia.

Di peringkat serantau, Malaysia dan rakan ASEAN menjalin FTA ASEAN pada 1991, dan ASEAN setakat ini telah memuktamadkan FTA dengan Australia dan New Zealand, China, India, Jepun dan Korea Selatan, kata Wahid.

LEAVE A REPLY