neelofa
Cover image via mynewshub.cc

MENATAL susur masa akaun Instagram milik Neelofa boleh diibaratkan seperti melawat sebuah ruang pameran yang menghimpunkan bingkai-bingkai gambar dengan rangkaian kata-kata ringkas dan lucu.

Sarat dengan dokumentasi aktiviti hariannya sebagai seorang pengacara, pelakon dan usahawan, setiap gambar yang dimuat naik tersusun cantik melawan kronologi rutin kariernya yang padat.

Tidak sekadar menjadikan Instagram sebagai penghubung antara dirinya dan peminat, wanita berusia 27 tahun itu juga bijak dalam mencorakkan setiap perkongsian agar kemas kini yang dilakukan tidak kelihatan mendatar oleh 3.1 juta pengikutnya.

Memasang impian untuk memperkenalkan program dakwah secara atas talian, pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor itu kini rancak merencanakan sebuah kandungan keagamaan yang bakal diterbitkan secara eksklusif di akaun media sosialnya pada September depan.

Menurut wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, dia berharap agar program yang mendapat kerjasama daripada Imam Muda Asyraf mampu mencetuskan aura dan pengaruh yang positif dalam kalangan khalayak umum dan juga peminatnya.

“Idea untuk menerbitkan program ini tercetus apabila saya sendiri melihat kuasa media sosial yang mampu memberikan pengaruh besar terhadap masyarakat di Malaysia. Bukan sekadar menyalurkan maklumat terkini dan berkomunikasi, medium media sosial juga dilihat mampu menyebarkan perkara-perkara baik seperti ilmu agama.

“Justeru, menerusi platform media sosial, saya yakin apa yang ingin disampaikan menerusi program ini dapat diterima dengan mudah oleh masyarakat,” katanya membuka bicara.

Menyentuh mengenai isi kandungan program yang bakal diterbitkan kelak, pengacara yang popular menerusi rancangan MeleTOP itu memilih untuk memberi fokus terhadap pengertian bacaan-bacaan dalam rutin solat.

“Kebanyakan daripada kita mengerjakan solat lima waktu tanpa mengetahui makna di sebalik setiap bacaan.

“Jadi, apabila program ini diterbitkan kelak, pengikut mampu mempelajari makna untuk bacaan pada setiap rukun di samping surah-surah lazim yang sering dibacakan dalam solat,” kongsi Neelofa yang bakal menerbitkan program berkenaan sama ada dalam saluran YouTube atau Instagram.

Aktif

Jika dilihat kembali rangkaian profil media sosialnya, program keagamaan tersebut bukanlah usaha sulung Neelofa dalam menerbitkan kandungan secara digital untuk pengikut di media sosial.

Sekitar awal Jun lalu, pelakon filem Pilot Cafe itu buat julung-julung kali menerbitkan rancangan realiti perdananya berjudul #ILofaYou.

Diterbitkan di saluran YouTubenya, Neelofa, rancangan yang berdurasi sekitar 10 minit bagi setiap episod itu memaparkan kisah di sebalik rutin hariannya sebagai seorang anak seni dan pemilik jenama tudung, Naelofar Hijab.

Mengakui gemar memberi inspirasi kepada peminat dengan berkongsi kisah kejayaan, Neelofa berkata, #ILofaYou turut memaparkan sisi berbezanya sebagai seorang individu.

“Bagi tiga episod pertama, saya memaparkan proses di sebalik tabir pembikinan kempen Naelofar Hijab Raya 2016 yang dijalankan di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

“Menerusi tiga episod tersebut itu juga, beberapa aksi kandid dan spontan turut dirakamkan untuk memberi variasi terhadap penerbitan #ILofaYou,” katanya yang kini meraih sekitar 7,200 pengikut di YouTube dengan lebih 84,000 jumlah tontonan.

Dalam masa yang sama, sepanjang bulan Ramadan lalu, Neelofa turut menerbitkan rancangan masakan Lofa & Adam Handmade berdurasi satu minit di Instagramnya bersama Cef Adam Mahamed Ismail.

Kuasa media sosial Neelofa tidak terhenti setakat itu sahaja. Menjadikan Twitter sebagai tempat bertanya dan meminta pendapat, Neelofa menggunakan peluang tersebut untuk berinteraksi secara santai bersama 1.5 juta pengikutnya.

“Twitter merupakan tempat terbaik untuk berkomunikasi dan berkongsi pendapat bersama pengikut. Menerusi Twitter juga, saya dapat menjawab soalan yang diberikan secara spontan.

“Saya juga menyelitkan elemen humor agar pengikut tidak berasa canggung apabila berinteraksi. Penggunaan kata ganti nama diri Kak Lofa misalnya menjadikan saya lebih dekat dengan peminat,” tutur Lofa lagi.

Keluarga

Bercerita mengenai sambutan rayanya, Neelofa berkata, tahun ini tidak memberi tekanan kepadanya memandangkan kebanyakan kerja-kerja penting telah diselesaikan sebelum berpuasa.

Ujar Neelofa, kesempatan tersebut diambil untuk bermuhasabah dan melipat gandakan amalan bagi mendapat keberkatan bulan yang suci tersebut.

“Tahun ini tidak terlalu sibuk. Banyak tugas penting telah saya siapkan sebelum tibanya Ramadan.

“Jadi, masa lapang yang ada biasanya terisi untuk rutin kerohanian dan mengimbas kembali perkara-perkara yang boleh menyedarkan kita untuk terus berbuat kebaikan,” katanya.

Berkenaan dengan rutin hari rayanya, Neelofa menghabiskan masa selama seminggu di Kelantan dan menggunakan tempoh itu untuk bertemu saudara mara yang sudah lama tidak bersua muka.

“Aidilfitri merupakan masa yang terbaik untuk melupakan kisah lalu dan bermula semula.

“Ia memberikan kita peluang untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri,” ujarnya menutup bicara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here