sabah

KOTA KINABALU:  Perdana Menteri berkata, beliau bersikap terbuka dalam soal Perjanjian Malaysia 1963 dalam Perlembagaan Malaysia dan sekiranya ada perbezaan tafsiran yang dipersetujui 53 tahun lalu itu, pintu sentiasa terbuka  terhadap negeri Sabah dan Sarawak bagi perkara itu dirundingkan.

Untuk itu, Datuk Seri Najib Razak berkata, tidak harus wujud perbincangan untuk mengeluarkan Sabah daripada Malaysia.

“Saya tak nak ambil hak orang Sabah. Hak orang Sabah saya nak dipertahankan. Tapi saya minta jangan kata kami mahu keluar dari Malaysia. Tidak..Tidak…Tidak,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di Pusat Kebudayaan Sabah di Penambang kelmarin.

Kebelakangan ini terdapat suara supaya Sabah keluar daripada Malaysia dan slogan Sabah untuk orang Sabah.

Menganalogikan Malaysia sebagai sebuah keluarga apabila suami dan isteri atau adik-beradik tidak bersetuju dalam hal tertentu, Najib berkata: “Kita di dalam satu keluarga, kita tetap bersama dalam ikatan Malaysia.”

Kenyataan itu  disambut tepukan dan sorakan gemuruh kira-kira 1,750 perwakilan UPKO.

kkrsuccession121116-6

Rakyat Malaysia perlu melihat ke hadapan dan sebagai perdana menteri, beliau akan terus bersikap terbuka dan merendah diri dalam melayani apa-apa pun rungutan dan permintaan rakyat bagi memastikan agenda besar negara tercapai.

Menurut Najib, beliau akan memastikan Sabah terus maju dengan pembangunannya mengimbangi kemajuan yang telah dicapai di Semenanjung dan akan terus memberi ruang kepada rakyat untuk mengemukakan tuntutan mereka.

Katanya, yang kelihatan begitu bersemangat menyampaikan ucapannya, rakyat Malaysia tidak harus terkongkong dan menyibukkan diri dengan hal remeh-temeh kerana keadaan seperti itu cuma akan menyebabkan negara ini akan tertinggal jauh ke belakang berbanding negara lain.

“Kita ada agenda besar. Kita bukan nak jadi negara kelas kedua, bukan. Kita tidak mahu menjadi negara biasa-biasa sahaja. Kita mahu Malaysia menjadi negara terbaik di kalangan yang terbaik di muka bumi ini.

“Sebab itulah, saya mencadangkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). TN50 inilah satu proses dialog dari akar umbi. Apa tujuannya? tujuannya untuk menentukan hala tuju baharu untuk meletakkan Malaysia ini di puncak kegemilangan sebagai sebuah negara kelas pertama yang boleh kita banggakan,” katanya.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan semua pemimpin BN  dan parti komponennya supaya tidak leka atau berpuas hati dengan prestasi semasa dan berfikir bahawa kemenangan sentiasa berada dalam tangan mereka.

Najib yang juga pengerusi BN berkata mereka sama sekali tidak boleh memandang rendah kuasa rakyat sebagai pengundi dan mereka perlu sentiasa konsisten turun padang bertemu rakyat di peringkat akar umbi bagi menghulurkan bantuan.

“Saya selalu mengingatkan diri saya, jangan lupa kepada rakyat, sebab itu ada sistem demokrasi, kita serah kuasa kepada rakyat. Dalam masa kita tiada pilihan raya, kita mesti menjaga hati rakyat.

“Apa (permintaan) rakyat perlu kita layan dan beri pertimbangan. Jangan tunggu program rasmi sahaja. Kita mesti merasai denyut nadi rakyat dan memberi tumpuan kepada mereka,” ujarnya.

Kini, Najib berkata kerajaan persekutuan lebih terbuka dalam mendengar masalah rakyat berbanding dengan seorang pemimpin terdahulu.

Beliau jelas merujuk kepada Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak mengkritik kepemimpinannya.

“Orang itu kata saya ini tidak demokratik. Siapa lebih demokratik, yang menahan beratus-ratus (orang) di bawah ISA dahulu? Siapa yang arahkan beratus-ratus orang dimasukkan ke Kamunting.  Orang itu hari ini kata orang lain tidak demokratik,” katanya merujuk kepada pusat tahanan mereka di bawah ISA.

Pada 1987 Mahathir pernah menahan 106 orang di bawah akta yang disifatkan zalim itu, dan akta berkenaan telah dihapuskan oleh Najib sebagai satu daripada transformasi yang dijanjikannya apabila mengambil alih kuasa daripada Tun Abdullah Badawi pada 2009.

LEAVE A REPLY