najib

TINDAKAN segelintir kecil pegawai-pegawai tentera Turki menggerakkan cubaan rampasan kuasa ketika Presiden Recep Tayyip Erdogan yang sedang bercuti sememangnya licik. Namun tindakan dan rancangan mereka ini telah menemui kegagalan walaupun pada awalnya “pengkhianat-pengkhianat demokrasi” ini dengan bangganya mendakwa kesemua institusi-institusi pentadbiran dan media massa telah berada dibawah kawalan mereka.

Mungkin sejarah-sejarah rampasan kuasa oleh tentera Turki pada dahulunya sentiasa membuahkan kejayaan, maka gerakan rampasan kuasa kali ini memandang enteng terhadap pengaruh besar Presiden Erdogan. Pemimpin-pemimpin tertinggi tentera sejak dahulu lagi mengganggap institusi ketenteraan di Turki sebagai benteng pertahanan kepada idea sekularisme Kamal Attartuk yang menjadi tunjang kepada negara Turki moden. Mereka mengambil tanggungjawab untuk memastikan negara Turki sentiasa berada pada landasan sekularisme tanpa memikirkan kehendak rakyat Turki sendiri.

najib
Pasukan tentera Turki yang terlibat dalam cubaan rampasan kuasa akhirnya menyerah diri

Walau bagaimanapun, kegagalan sebilangan kecil pegawai-pegawai tentera Turki memahami aspirasi dan kehendak rakyat telah menyaksikan kegagalan tindakan rampasan kuasa. Populariti dan sokongan rakyat yang padu kepada Erdogan menyaksikan lautan manusia turun ke jalan raya dan lokasi-lokasi yang dikawal tentera untuk mempertahankan kerajaan demokratik. Erdogan juga digambarkan sebagai “Pahlawan Islam” kerana kembali mengukuhkan peranan Islam dalam masyarakat Turki selain membawa kemakmuran ekonomi yang sememangnya mendapat sokongan padu majoriti rakyatnya.

Melihat situasi ini secara teliti, kedudukan Erdogan adalah sama seperti kedudukan Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak. Serangan dan fitnah yang digerakkan oleh penentang-penentang politik yang seolah-olah anti dengan kejayaan ekonomi yang dicapai oleh beliau.

Pada waktu Najib mengambil alih tampuk pemerintahan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya pada USD 231 bilion. Hanya dalam tempoh pemerintahan beliau yang menjangkau enam tahun, KDNK negara melonjak tinggi kepada USD 523 bilion. Hampir dua kali ganda berbanding tahun 2009. Ini adalah bukti kebijaksanaan beliau dalam pengurusan ekonomi negara walaupun dikala dunia mengalami kemelesetan ekonomi.

najib
Najib ketika lawatannya ke Gaza beberapa tahun yang lalu

Tambahan pula, beliau turut dihormati dan dijulang di peringkat antarabangsa sebagai “pejuang Islam” apabila lawatan beliau ke Semenanjung Gaza turut mengukuhkan imej pergerakan HAMAS di dunia. Terserlah keberanian Najib dalam mengukuhkan agenda Islam yang jelas tersemat kukuh di dalam lubuk hatinya. Mungkin keikhlasan dalam memperjuangkan agenda Islam di dalam jiwanya masih kukuh maka Tuhan terus menganugerahkan kemenangan demi kemenangan dalam pilihanraya-pilihanraya yang dilaluinya.

Rakyat Turki telah menunjukkan semangat dan kemarahan mereka dalam mempertahankan Presiden mereka apabila diserang oleh pengkhianat-pengkhianat demokrasi. Maka amatlah tepat seruan Datuk Jamal Yunos yang menuntut rakyat Malaysia supaya bangkit mempertahankan pemimpin negara seperti mana rakyat Turki yang sanggup mati mempertahankan Erdogan.

Gelombang rakyat perlu dipertontonkan kepada dunia bahawa bangsa Malaysia tidak akan mengikut telunjuk “orang luar” yang berpaksikan Yahudi. Fitnah dan tohmahan oleh penentang-penentang Najib yang disokong oleh negara luar tidak akan mempengaruhi rakyat Malaysia yang menghargai pengorbanan Najib dan bapanya, Allahyarham Tun Razak kepada Malaysia.

Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here