nabila huda
Cover image via youtube.com

Dramatis terkenal Nabila Huda, tidak mahu menjadi jahat dan dibenci kerana sering memberikan ‘persembahan luar biasa’ jika diberikan watak antagonis.

Pendiriannya itu disebut beberapa kali ketika ditemui sebaik selesai pementasan teater Lela Manja di Istana Budaya pada Ahad, yang turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Aeril Zafril, Hafidz Roshdi, Sari Yantie dan ramai lagi.

“Watak wanita jalang, ibu tiri yang jahat dan nenek kebayan dalam teater ini memerlukan komitmen yang tinggi dalam menjayakan pementasan seperti ini, meskipun ada yang mengatakan, mudah bagi saya untuk membawakan watak seperti itu”, tegas anak kepada penyanyi rock Amy Search ini.

Jelasnya lagi, jalan cerita yang diadaptasi daripada filem karya Jamil Sulong itu memerlukan dirinya memikul satu tanggungjawab besar. Ini kerana, Nabila yang memikul watak Dang Suri perlu dibandingkan dengan ‘kehebatan’ primadona terkenal seniwati Normardiah menerusi filem penuh emosi itu.

Pertama kali menuntut ilmu – Aeril Zafril

Bagi Aeril Zafril pula, pelakon itu kelihatan masih mengah ketika melangkah masuk untuk sesi bertemu peminat di bilik khas. Sempat ketika duduk sekejap di kerusi, Aeril mengatakan dia agak kepenatan kerana hampir setiap kemunculan, dia perlu ‘beraksi’. Apatah lagi, sesi pementasan pada malam Sabtu, belum cukup untuknya berehat.

“Jika dibandingkan dengan drama, teater lagi penat,” ujarnya.

Aeril yang pertama kali beraksi di Istana Budaya; yang disenaraikan antara 10 panggung paling canggih di dunia, juga berkata: “Saya datang dengan tangan kosong. Semua ini saya belajar selama dua minggu; lepas raya. Silat pun saya tak tahu. Saya buat ‘homework’ tengok filem-filem lama untuk biasakan diri dengan lenggok bahasa. Saya juga belajar cara pahlawan berjalan.”

Meskipun sudah lama dalam industri hiburan, beberapa kali pelakon berusia 27 tahun ini, meminta pendapat tentang mutu lakonannya selaku ‘orang baharu’ di pementasan teater. Begitupun, kemunculannya sebagai watak Manja dewasa, dinanti-nantikan ramai dengan mendapat tepukan gemuruh penonton.

Apa komen penonton

“Set pentas cantik. Ada ‘effort‘ berbanding teater yang lain,” itu komen Dr Dzulfikar Samsudin yang berpuas hati dengan mutu lakonan barisan pelakon. “Cuma elemen jenaka perlu ditambah ataupun digilapkan lagi, supaya penonton lebih terhibur.”

“Disebabkan keperluan menjaga jalan cerita, banyak pertukaran set sedikit menjejaskan emosi dan momentum. Tetapi kerana ada barisan pelakon yang hebat seperti Nabila, Aeril dan semuanya, kelemahan itu boleh ditolak tepi,” itu komen Dr Fairuz Shahidan selaku penonton yang sudah lama menantikan persembahan pementasan lebih baik.

Penuh emosi

Selain itu, dua pelakon kanak-kanak Izzya Reen dan Wafiy yang memikul watak Lela dan Manja; ketika kecil wajar diberi pujian. Kelihatan beberapa penonton terdiam seketika, pada babak Lela dan Manja mengunjungi pusara ibunya – ditambah lagi dengan elemen tarian dan susunan muzik latar.

Watak Megat Komeng, lakonan Jay Iswazir yang menyimpan dendam atas kematian bapanya Megat Sura, ‘sampai’ kepada penonton. Tidak kurang juga, pengikut Komeng, yang dibawa oleh pelakon Syazwan Zulkifli; selaku Panglima Harimau Berantai.

Memang diakui, dari segi rekaan set, ia menampakkan kesungguhan dalam setiap babak dan susunan cerita.

Turut menyerikannya, tiga lagu baharu yang disusun bagi mewarnai filem ini. Lagu Kiasan Rindu,Serampang Serumpun dan Dakapan Ibu digubah oleh Rosli Abu Bakar, manakala liriknya ditulis oleh penulis lirik lagu Cindai, Hairul Anuar Harun yang juga selaku penulis skrip teater ini.

Teater Lela Manja arahan Ramli Lani ini akan sekali lagi dipentaskan pada 29 & 30 Julai ini jam 8 malam, manakala pada 31 Julai, jam 3 petang dan tiket dijual pada harga RM33, RM73, RM103, RM153, RM203 dan RM253.

Tempahan boleh dibuat di www.AirAsiaRedTix.com atau di kaunter box office Istana Budaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here