munafik
Cover image via peraktoday.com.my

Lakonan sekadar sesuatu yang bersifat kepura-puraan. Kepura-puraan juga ada kaitan dengan munafik atau hipokrit. Namun, dalam kisah panjang Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) yang melabuhkan tirai Sabtu lalu, frasa lakonan dan munafik ada simbiosisnya. Ia telah mencipta satu lagi sejarah dalam perfileman tanah air.

Impak Munafik yang dipilih sebagai Filem Terbaik Nasional juga ibarat menjatuhkan purnama ke ribaan aktres berkaliber, Nabila Huda apabila dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM28.

Enam belas tahun bergelumang sepak terajang bidang lakonan sejak usia belasan tahun, sehinggalah menginjak angka 31 tahun, baru kini anak sulung rockers Amy Search itu menerima pengiktirafan terulung dalam karier seninya.

Tidak pernah gagal menterjemahkan watak dalam setiap naskhah yang diberikan, Nabila awalnya tidak menyangka akan membawa pulang trofi tersebut. Pada sangkaannya, ia akan dimenangi saingan terdekatnya, Maya Karin.

Bagaimanapun, tuah watak Maria menerusi filem Munafik membuktikan dirinya tidak sekadar mendapat pujian daripada penonton, malah penangannya turut mendapat perhatian juri.

“Kemenangan ini menjadi detik bermakna kerana diiktiraf menerusi filem, sedangkan saya pula kurang muncul di layar perak,” jelas Nabila yang sebelum ini pernah menang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2014.

Lebih syahdu, Nabila turut mendedikasikan kemenangan tersebut buat ayahanda tercinta, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman yang kini berada di Sydney, Australia atas urusan kerja.

Kata Nabila, kejayaan itu membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar ‘peletus’ kontroversi dalam industri hiburan.

“Saya ingin kongsikan anugerah ini dengan papa (panggilan untuk Amy) dan keluarga, sekali gus membuktikan diri saya bukan sekadar dikelilingi cerita kurang enak selama ini.

“Saya tidak mengatakan ia sebagai satu kontroversi, tetapi perangai-perangai kurang matang sehinggalah saya kini berusia 31 tahun. Itu yang menjadikan anugerah ini satu kebanggaan,” ujarnya.

Pembakar semangat

Mengukuhkan kedudukan sebagai pelakon senior, kemenangan tersebut tidak hanya mencantikkan portfolionya, malah turut dijadikan pembakar semangat untuk melakukan lebih baik pada masa mendatang.

Bagi Nabila, trofi Pelakon Wanita Terbaik bukan tiket menjadikan dirinya mendabik dada mahupun berlagak ‘diva’ terutama dalam soal skrip atau bayaran.

“Kemenangan ini membuatkan saya akan berusaha lebih gigih dan meningkatkan mutu lakonan pada masa akan datang,” tuturnya.

Ditebak sama ada nilai jenama Nabila Huda itu akan berubah setelah menerima pengiktirafan tersebut, ibu kepada seorang cahaya mata itu melepaskan ketawa besar.

Kekal dengan keperibadiannya yang merendah diri, Nabila enggan menjadikan tahap bayaran sebagai isu apatah lagi meletakkan harga tidak masuk akal.

“Saya tidak memandang pendapatan sebagai pelakon untuk menjadi kaya sebaliknya, saya percaya pada kekuatan skrip yang hebat meskipun terpaksa membawakan watak berat,” kata Nabila dalam nada serius meskipun kekal mengukirkan senyuman.

Nilai sentimen

Berkongsi perasaan yang sama, anak seni yang hampir 19 tahun menjadikan seni sebagai kehidupan, Hushairi Hussain akhirnya mampu tersenyum lebar.

Diiktiraf sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Polis Evo merupakan satu titik bermakna dalam hidupnya.

Bagaimanapun, aktor yang pernah popular menerusi watak Jolok dalam Bunohan itu mengharapkan pola karakter lakonannya tidak stereotaip hanya karakter sama.

“Saya ingin mencuba pelbagai watak namun, karakter sama tetap ditawarkan dan situasi tersebut agak menghampakan,” luah Hushairi yang memulakan perjalanan seninya, usai tamat pengajian dalam jurusan Seni Persembahan Drama di Universiti Malaya pada 1997.

Pengalaman membawakan watak komedi atau jahat sebelum ini membuatkan dirinya sering menerima tawaran sama hampir setiap masa, begitu juga dengan atmosfera latar sosial yang menuntut karakter menggunakan dialek Kelantan dalam pertuturan.

Kredibiliti Jagat

Meskipun berdepan dengan sedikit perdebatan tentang pengasingan kategori mengikut bahasa pada awalnya, karya terbitan Skyzen (M) Sdn. Bhd. bertujul Jagat turut membawa pulang anugerah yang penuh bermaruah apabila FFM28 mengiktiraf ia sebagai Filem Terbaik Malaysia.

Tidak hanya menjadi Filem Terbaik Malaysia, karya tersebut juga merangkul trofi Pengarah Baharu Terbaik iaitu Shanjhey Kumar Perumal.

Menggalas tanggungjawab sebagai pengarah baharu, kemenangan tersebut satu pencapaian terindah buat Shanjhey dan pasukan produksi Jagat di tanah air sendiri.

Filem bajet rendah dengan kos pembikinan dan pemasaran sebanyak RM500,000 itu juga menjadi taruhan Shanjhey untuk mencipta nama bukan hanya di dalam negara bahkan ke peringkat antarabangsa.

“Jagat telah dihantar ke beberapa festival filem antarabangsa dan salah satunya ialah New York Asian Film Festival 2016 sekitar Jun lalu.

“Selain tidak menyangka akan memenangi anugerah tersebut saya turut berbangga dengan usaha barisan pelakon atas kesungguhan mereka memberikan lakonan terbaik,” kata Shanjhey.

Terus berkarya

Menang kalah adat pertandingan, namun itu bukanlah tujuan pembikinan sesebuah karya filem.

Perdebatan tentang bahasa Melayu sebagai antara kriteria penting bagi melayakkan sesebuah filem bertanding bagi beberapa kategori pada awal penjurian juga bukan penghalang trofi FFM28 untuk berdiri dengan gah.

Kewujudan kategori Filem Terbaik Malaysia dan Filem Terbaik Nasional sebagai jalan penyelesaian diharap memberi sinar baharu ke lembah perfileman tanah air.

Festival tahun ini juga memberi satu petunjuk bahawa filem dengan nilai komersial, Munafik juga mampu diangkat sebagai Filem Terbaik Nasional. Pengarahnya, Syamsul Yusof turut meraih kejayaan peribadi dengan trofi Pengarah Terbaik buat kali ketiga selepas Evolusi KL Drift 2 dan KL Gangster.

Filem Munafik turut membawa pulang dua lagi trofi iaitu Penyunting Terbaik dan Penata Bunyi Terbaik.

Kejayaan peribadi turut dicipta Pekin Ibrahim menerusi filem Mat Moto – Kami Bukan Mat Rempit apabila memang kategori Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.

Pertama kali muncul di layar perak, gandingan Pekin dalam Mat Motor, Falisha Crossley memenangi anugerah Pelakon Baharu Wanita Terbaik. Kategori Pelakon Baharu Lelaki Terbaik pula menjadi milik Adam Shahs, menerusi filem Juvana 2 – Terperangkap Dalam Kebebasan.

Aktres berkaliber, Fauziah Ahmad Daud ternyata masih relevan dalam industri hiburan. Jarang pulang tangan kosong setiap kali menerima pencalonan, tahun ini beliau dipilih sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Langit Cinta.

Menyorot beberapa filem besar seperti Polis Evo yang tersenarai dengan sembilan pencalonan, filem arahan Ghaz Abu Bakar itu turut diumumkan sebagai Filem Box Office dengan mendapat kutipan sebanyak RM 17.4 juta selain memenangi Sinematografi Terbaik serta Anugerah Khas Juri; Filem Yang Berjaya Mengangkat Nilai Produksi Dan Komersil Yang Tinggi.

Mendominasi pencalonan menerusi 14 kategori, filem Ola Bola yang disasarkan menang besar tahun ini pula meninggalkan FFM28 dengan empat trofi termasuklah Pereka Kostum / Busana Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik, dan Anugerah Khas Juri; Filem Yang Berjaya Mengangkat Nilai Perpaduan Dan Kekeluargaan Melalui Semangat Kesukanan.

Artikel berkaitan: Sihir Munafik Nabila Huda

1 COMMENT

LEAVE A REPLY