#MYCYBERSALE 2016, jualan dalam talian yang terbesar negara merekodkan nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak RM211 juta tahun ini naik 79 peratus berbanding tahun lepas.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Ng Wan Peng berkata, 45 peratus daripada jumlah GMV itu, iaitu lebih kurang RM94 juta, disumbangkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbanding RM61 juta pada 2015.

Katanya, barangan kesihatan dan kecantikan, fesyen serta elektronik menyumbang lebih separuh daripada GMV berkenaan.

“Kami agak teruja dengan kejayaan #MYCYBERSALE 2016 dan kami bangga dengan fakta bahawa sasaran RM200 juta kami telah melebihi jangkaan.

“Pencapaian ini adalah bukti kepada komitmen dan usaha-usaha untuk meningkatkan hasil e-dagang tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Program jualan anjuran MDEC diadakan pada 26-30 September di seluruh negara, telah menarik seramai 688,478 pembeli menyaksikan peningkatan 153 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun ini, sebanyak 607 laman web mengambil bahagian dalam #MYCYBERSALE 2016, 54 peratus lebih banyak berbanding 2015 dengan hampir 14,000 peniaga terlibat merupakan PKS.

Kira-kira 60 peratus daripada pembeli dan pesanan telah didorong oleh PKS, yang dirangsang melalui platform e-pasaran seperti Lelong.my dan Lazada.

LEAVE A REPLY