munafik

PASTI ramai di antara kita yang sudahpun menonton filem Munafik yang mengisahkan Adam, seorang ustaz yang dikurniakan ‘kelebihan’ dalam merawat pesakit dengan kaedah Islam. Sikap merendah diri Adam amat disenangi oleh semua penduduk kampung di kawasan yang dia diami. Walau bagaimanapun, karakter Adam berubah sama sekali selepas dia dan isterinya terlibat dalam kemalangan ngeri. Kematian isterinya dalam tragedi itu telah membunuh semua rasa dan mematahkan semangat Adam. Adam seakan-akan tidak boleh menerima Qada & Qadar Tuhan. Keimanannya mula rapuh, tergugat dan tidak sekuat dahulu.

Itulah serba sedikit cerita mengenai Adam, seorang ustaz yang hilang konsistensinya dalam hidup. Filem yang memperoleh jualan tertinggi dalam rekod filem tempatan ini setidak-tidaknya telah mengajarkan kita satu perkara penting untuk kita kekal berpegang sepanjang hayat; konsistensi.

munafikSesungguhnya konsistensi adalah kunci kejayaan bagi kita umat manusia. Kalau kita konsisten dalam mengejar ilmu, maka kita pasti akan menjadi insan yang bijaksana. Jika kita konsisten dalam mengekalkan usaha untuk sesuatu matlamat, maka satu masa nanti pasti kejayaan akan menjadi milik kita. Malah, Allah SWT juga mahukan hambaNya supaya menjadi konsisten terutamanya dalam melaksanakan ibadah dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang. Tidak mengapa jika ibadah yang kita lakukan hanyalah memadai perkara yang wajib dan sedikit, tetapi kita konsisten melakukannya tanpa meninggalkannya. Ini lebih Allah SWT hargai berbanding mereka yang satu hari melakukan 1001 ibadah, tetapi esoknya meninggalkan kesemuanya pula.

Atlet yang konsisten dalam latihan juga pasti akan dapat meningkatkan prestasi dan pencapaian mereka. Jika hari ini prestasi dan stamina mereka sudah meningkat 70% maka adalah tidak patut jika atlet tersebut meninggalkan rejim latihannya dan melakukan perkara yang boleh mengurangkan kembali pencapaiannya. Dengan menjadi tidak konsisten, maka prestasi sukan hanya akan berkisar kepada cerita untuk mencapai prestasi 100% dan bukan lagi untuk menjadi juara. Dengan menjadi konsisten, kita boleh terus meningkat maju.

Begitu jugalah halnya dalam kita berpolitik. Hari ini ramai di antara kita yang tidak konsisten malahan bersikap munafik apabila membicarakan hal-hal politik. Tahukah anda dengan menjadi seorang yang konsisten, anda juga sebenarnya mendidik diri untuk menjadi seorang insan yang berpendirian teguh dan mulia? Dengan mengamalkan prinsip yang konsisten dalam berpolitik juga Insyallah masa depan negara dan anak-anak kita akan lebih terjamin. Wah, bagaimana dengan hanya mengamalkan sikap konsisten kita boleh menentukan masa depan negara?

Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai isu politik baik di media sosial mahu pun di media konvensional (lama) seperti televisyen dan surat khabar. Namun, ramai di antara kita yang mengamalkan dwi standard apabila berhadapan dengan isu-isu politik seperti ini, terutamanya di media sosial. Mungkin kerana sifat media sosial itu sendiri yang anonymous, membolehkan komen secara interaktif dengan mudah dan sepantas kilat telah menyebabkan ramai di antara kita yang berubah sikap 180 darjah. Perwatakan sopan secara fizikal di dunia sebenar secara tiba-tiba berubah menjadi seorang yang sinis, suka memaki hamun dan tidak menghormati orang lain apabila ‘beraksi’ di media sosial.

Lebih menyedihkan, kemudahan untuk menyelidik maklumat secara mendalam di media sosial tidak digunakan sepenuhnya dan dengan hanya membaca tajuk berita (yang juga sering kali diputar belitkan), maka hukuman dunia dan akhirat telah dapat ditentukan!

munafikApabila timbul beberapa isu mengenai tadbir urus kewangan di peringkat negara dan negeri serta pelbagai lagi isu yang bunyinya seakan menyesakkan dada, ramai yang melonjak-lonjak memaki hamun, menjalankan peranan tuhan sebagai pemberi dosa, pahala dan hukuman akhirat dan sebagainya tanpa mengambil sikap untuk bertabayyun (selidik). Hanya dengan melihat tajuk berita tanpa membaca dengan lebih lanjut, maklumat dikongsi dengan niat supaya lebih ramai lagi yang membenci dan memaki hamun. Apabila ada segelintir yang cuba untuk menjelaskan isu sebenar, kumpulan ini dimaki dan dibuli selain dilabel sebagai macai dan pemakan dedak agar mereka ini tunduk dan akhirnya senyap.

‘Pahlawan’ siber ini gembira jika berita/maklumat yang mereka kongsi tadi mendapat LIKE, SHARE dan komen sependapat yang tinggi, sedangkan dalam masa yang sama mereka mendakwa membawa dan mempromosi kebebasan untuk bersuara. Namun, apabila timbul cerita dan penjelasan sebenar, gerombolan yang sama secara tiba-tiba menjadi malu untuk berkongsi dan menyebarkannya semula kepada rangkaian awal tadi. Secara tiba-tiba semua jadi pasif dan tidak berminat kepada politik. Sayang sekali, mereka tidak juga malu untuk mengakui kesilapan apatah lagi memohon maaf.

Senario ini tampak ketara bezanya apabila pemimpin mereka pula yang disabitkan dengan kesalahan jenayah, rasuah, penyelewengan projek pembangunan dan isu penipuan dalam pemilihan parti mereka sendiri. Seperti yang dijelaskan tadi, secara tiba-tiba golongan yang asalnya pahlawan siber dan pakar politik bertukar menjadi peminat hobi, makanan, keluarga dan sebagainya. Semuanya jadi senyap membisu. Semuanya secara tiba-tiba hilang minat untuk menjadi rakyat yang mahu memastikan negaranya bersih dari rasuah dan penyewengan. Secara tiba-tiba ramai yang menjadi tidak konsisten.

Sikap yang tidak konsisten ini apabila diamalkan akan turut mempengaruhi bentuk pola mengundi kelak. Apakah kita mahu menjadi manusia yang tidak berotak dan tidak mampu berfikir yang akan tetap mengundi parti politik, bukan kerana prestasinya, tetapi kerana kebencian tanpa asas kita kepada parti lagi satu? Dengan berpaksikan emosi untuk ke pusat mengundi, percayalah kita menjerumuskan diri menjadi golongan manusia yang paling bangsat sekali kerana akhirnya kita juga yang akan membayar gaji, elaun dan pencen seumur hidup wakil rakyat yang tidak mempedulikan nasib kita dan anak-anak kita.

munafikPerkembangan terbaharu di Selangor agak membimbangkan. Apa sudah jadi dengan hak keistimewaan bumiputera untuk membeli rumah? Sudahlah harga hartanah tidak terkawal, kini hendak beli rumah-rumah tertentu pun sudah tiada diskaun khas lagi. Jangan dituding jari kepada orang lain kerana hakikatnya pengundi-pengundi daripada kaum yang membentuk populasi majoriti inilah juga yang telah ‘membuka jalan’ kepada pembentukan polisi-polisi mengecewakan ini.

Semuanya terjadi kerana kita tidak konsisten. Kalau kita konsisten mahukan tadbir urus yang baik dan bencikan penyelewengan, maka apa jua bentuk rasuah baik di pihak Kerajaan mahu pun di pihak pembangkang wajib kita lawan. Jangan jadikan logo politik sebagai kabut dalam pemikiran kita. Yang menang, dapat jawatan, laba politik dan komisyen projek pembangunan adalah orang politik, bukannya kita. Jadi apa salahnya jika kita kali ini pergi ke pusat membuang undi dengan kepentingan dan keutamaan untuk diri, keluarga dan masa hadapan. Isu politik letak tepi. Utamakan wakil rakyat yang kita tahu akan memberikan manfaat kepada kita, dan bukannya jenis menggunakan kita untuk menghidupkan sentimen politik mereka saban hari.

Akhir kata, sesuatu untuk difikirkan bersama; jika kita adalah kelompok istimewa yang bencikan sangat sesetengah ahli politik hanya kerana parti diwakili mereka, apakah kita tetap sanggup diperbodohkan dengan mengundi pemimpin yang masih kita ragui integriti mereka, yang datang dari parti yang belum membuktikan apa-apa?

Shazana Fauzi adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here