Sumber imej: FMT

Parti Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), didaftar secara rasmi di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) oleh presiden sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang dipecat keahlian Umno baru-baru ini berkata, parti baharu itu terbuka kepada rakyat Malaysia semua bangsa.

“Disamping semua warganegara Bumiputera – termasuk rakyat Sabah dan Sarawak – parti ini terbuka kepada semua, tetapi sebagai ahli bersekutu.

“Kami mahu jadi inklusif. Kami akan beri pengiktirafan baru kepada mereka.

“Kami mahu mereka main peranan beri idea dan sebagainya,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas mendaftar.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka kepada melayu dan bumiputera, kini secara rasmi dihantar untuk pendaftaran ke Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) oleh bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat pertubuhan itu hari ini. Sumber imej: malaysiadateline.com

Beliau menjelaskan ahli bukan Bumiputera, yang mendaftar sebagai ahli bersekutu, punyai hak yang sama seperti ahli biasa cuma tidak boleh mengundi dan tidak boleh bertanding mana-mana jawatan dalam parti.

“Bagaimanapun, mereka layak dilantik ke mana-mana jawatan dalam parti.”

Muhyiddin menjelaskan agenda utama parti termasuk reformasi institusi dan menegak keadilan bagi melindungi hak semua warganegara.

“Matlamat kami adalah kerajaan berintegriti yang bersih dan telus.

“Tujuannya mewujudkan Malaysia yang adil.”

 

Muhyiddin tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Bagi saya, kita tidak bersendirian. Kita perlu bekerjasama dengan parti-parti lain.”

Parti itu, yang diasaskan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir, akan dipimpin Muhyiddin manakala Mahathir pula akan dilantik pengerusi.

Kamarulzaman Habibbur Rahman, pengerusi kumpulan pemberontak ketua-ketua akar umbi Umno (Gabungan Ketua Cawangan Malaysia, atau GKCM), akan dilantik setiausaha parti baharu itu.

Parti Bumiputera itu dikritik kerana mengikut acuan parti berasaskan kaum, termasuk Setiausaha Biro Keharmonian Agama MCA Chris Daniel Wong mengecam parti itu kerana mengembalikan perkauman dalam bentuk baru.

Salah seorang ahli jawatankuasa pengasas parti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyangkal dakwaan itu dan menghentam MCA sebagai hipokrit.

Syed Saddiq berkata struktur kuasa dalam parti baharu itu berbanding parti lain sangat berbeza, termasuk Umno.

“Parti ini, walaupun sebuah parti Bumiputera, menjuarai semua rakyat Malaysia dalam mengusulkan reformasi. Ini parti Bumiputera berteraskan reformasi.”

Beliau meminta rakyat supaya nantikan kejutan daripada mereka. Katanya, parti itu tidak sepenuhnya berasaskan kaum, tanpa mengulas lanjut.

Pembentukan parti baharu itu diumumkan Mahathir bulan lalu. Katanya parti itu akan bekerjasama dengan PH dalam usaha untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim di Twitter hari ini berkata tidak akan menyertai parti baharu. thesundaily.my

Sementara itu, bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim di Twitter hari ini berkata tidak akan menyertai parti baharu.

Katanya, orang Melayu bangsa progresif, liberal, bijak dan mempunyai moral dan keyakinan tinggi. Maka, tidak perlu meniru Umno untuk mengingatkan masyarakat akan keperluan untuk bersatu atau melindungi hak mereka.

“Melayu tidak perlukan Umno. Sebaliknya Umno yang perlukan orang Melayu. Begitu juga dengan parti baharu itu.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here