mufti wilayah
Cover image via Berita Harian

Pemegang amanah anak yatim, mutawalli, bapa saudara atau sesiapa sahaja yang menjaga anak yatim boleh menggunakan hak pengurusan wang untuk tujuan keperluan anak yatim sahaja. Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata hak pengurusan wang dan sedekah anak yatim perlu diuruskan pemegang amanah dengan kejujuran dan rasa tanggungjawab.

Beliau berkata, wang disedekah kepada anak yatim tidak boleh menjadi hak milik pemegang amanah atau digunakan untuk manfaat peribadi mereka dengan sewenang-wenangnya.

“Ada yang bertanya kami, keharusan penggunaan wang sumbangan orang ramai untuk keperluan (maslahah) anak yatim itu sendiri.

“Kami dengan tegas menyatakan hak pengurusan wang berkenaan tertakluk kepada keperluan dan sumbangan atau sedekah kepada anak yatim,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau mengulas dakwaan bapa saudara menyeleweng duit sumbangan kepada anak mangsa kemalangan ngeri di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), tahun lalu, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 8, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 5, yang kini dijaga ibu saudaranya, Yusnidah Husain, 48.

Semalam, Yusnidah, kakak kepada Allahyarham Fairuz Nizam, mendedahkan kanak-kanak berkenaan hanya menerima RM12,000 daripada jumlah keseluruhan sumbangan orang ramai sekitar RM300,000.

Dr Zulkifli berkata, jabatan ada menziarahi keluarga berkenaan sebagai tanda simpati beberapa hari selepas tragedi dan sudah menjelaskan isu berkenaan kepada ahli keluarga mangsa.

Bagaimanapun, katanya, alasan dinyatakan adik Yusnidah ketika ini adalah tindakannya merujuk kepada penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan bahawa duit diberi orang ramai adalah harta dan hak mereka kerana dimasukkan ke dalam akaun atas nama mereka sendiri, bukan anak-anak ini.

LEAVE A REPLY