monza

Nico Rosberg memanfaat sepenuhnya permulaan buruk rakan sepasukan, Lewis Hamilton di Grand Prix (GP) Itali untuk menjuarai perlumbaan di Litar Monza, hari ini sekali gus merapatkan jurang kejuaraan Formula Satu (F1) hanya kepada dua mata.

Selepas memintas Hamilton seawal selekoh pertama, pelumba kelahiran Jerman itu terus memimpin perlumbaan untuk merakam kemenangan pertamanya di GP Itali namun ketujuhnya pada musim ini.

Kejayaan di Monza adalah kemenangan satu dan dua buat pasukan Mercedes AMG PETRONAS yang terus mengukuhkan kedudukan pasukan itu selaku pendahulu kategori pengeluar.

Tampil sebagai pilihan untuk menjuarai perlumbaan, Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak utama berdepan situasi tidak diingini malah ketinggalan di kedudukan keenam pada satu ketika sebelum bangkit menamatkan perlumbaan di podium.

Hamilton begitupun terus mengetuai kedudukan pelumba dengan mengumpul 250 mata dengan Rosberg mengikuti rapat dengan 248 mata menuju perlumbaan malam di GP Singapura, dua minggu lagi.

“Saya merasa hebat, perlumbaan dengan Lewis berterusan. Ia sentiasa akan menjadi persaingan yang hebat dan saya teruja untuk melihat apakah keputusannya,” kata Rosberg.

Perlumbaan di Monza dianggap perlumbaan di laman sendiri buat pasukan Ferrari dengan namun kedua-dua pelumbanya, Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen sekadar melengkapkan kedudukan ketiga dan keempat.

Tempat kelima pula menjadi milik pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo diikuti pelumba Williams, Valtteri Bottas melengkapkan kedudukan enam terbaik. “Saya tidak tahu apa yang terjadi ketika permulaan… saya melakukan segala-galanya seperti biasa,” kata Hamilton.

image via The Guardian

Mercedes AMG PETRONAS ketika ini sudah mengumpul 498 mata daripada 14 pusingan perlumbaan, jauh meninggalkan Red Bull di tempat kedua dengan 290 mata. GP Itali adalah perlumbaan terakhir F1 di Eropah musim ini berbaki tujuh pusingan termasuk GP Malaysia pada 2 Oktober ini.

LEAVE A REPLY