Sunday, June 25, 2017
Home News Sport Liverpool Bayar RM192j Untuk Mohamed Salah

Liverpool Bayar RM192j Untuk Mohamed Salah

84
0
Mohamed Salah

LIVERPOOL telah mengadakan rundingan dengan Roma minggu ini, namun bidaan awal 28 juta pound (RM154 juta) yang dikemukakan untuk membeli Mohamed Salah ditolak oleh kelab Serie A itu.

Pengurus Reds, Jurgen Klopp bagaimanapun tetap bertekad untuk mendapatkan penyerang Mesir itu dan kelihatan hampir mendapatkan pemain yang dihajatinya.

Menurut wartawan beINSPORTS, Mohamed Alkawaleny, Salah akan berpindah ke Anfield menerusi perjanjian bernilai sekitar 35 juta pound (RM192 juta).

“Rundingan sudahpun selesai dan terma kontrak turut dipersetujui walaupun pengumuman rasmi masih belum dibuat Liverpool,” kata Alkawaleny menerusi laman sosial Twitter.

Salah, 24, bakal menjadi pemain kedua yang ditandatangani Liverpool pada musim panas ini selepas mereka bersetuju menandatangani Dominic Solanke dari Chelsea.

Liverpool akan menjadi kelab Liga Perdana Inggeris kedua buat Salah selepas mengharungi musim mengecewakan bersama Chelsea yang mana dia gagal mempamer impak sejak tiba dari Basel pada 2014.

Salah, bagaimanapun kembali memulihkan kariernya sewaktu dipinjamkan ke Fiorentina sebelum mempamerkan prestasi mengagumkan di Roma yang kemudian mengikatnya sebagai pemain tetap.

Bulan lalu, bos Salah di Roma, Luciano Spalletti menghambur pujian terhadap pemain itu, yang disifatkannya sebagai antara pemain terbaik pernah berada di bawah pengurusannya.

“Salah merupakan pemain yang luar biasa. Dia pemain terbaik pernah saya latih sepanjang kariernya saya,” katanya. – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here