misha omar
Cover image via Youtube

BERGELAR ibu kepada bayi pramatang menuntut banyak kesabaran, lebih-lebih lagi jika si ibu merupakan wanita bekerjaya yang cukup sibuk rutin hariannya. Bagi Misha Omar, biarpun kembali aktif menguruskan karier nyanyian selepas habis tempoh berpantang, tanggungjawab terhadap puteranya, Muhammad Idris Ezzwa yang lahir tidak cukup bulan tetap digalas sebaik mungkin.

Buktinya, usai membuat persembahan menerusi pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, penyanyi berusia 34 tahun itu bergegas ke hotel penginapannya untuk mengepam susu buat bekalan si kecil sebelum kembali semula ke auditorium.

Walaupun sedikit letih, terutamanya dari segi pengurusan masa, Misha yang mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Firos Ezzwan Rosly, 34, dua tahun lalu bagaimanapun masih kekal teruja dengan transisi statusnya sebagai ibu.

Malah, ibu kepada dua cahaya mata angkat, Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4, itu berkata, kehadiran Idris yang kini berusia tiga bulan sebagai ahli baharu dalam keluarga disifatkan sebagai suatu keajaiban serta rahmat daripada Allah sangat disyukurinya.

Selain itu, Misha turut berbicara mengenai kejayaan lagu nyanyiannya bersama Hafiz Suip, Terimaku Seadanya yang berjaya terpilih ke Anugerah Juara Lagu Ke-31 (AJL31) selepas tujuh tahun tidak bertanding di pentas berprestij itu.

Bagaimanakah Misha membahagikan masa antara kerja dan rutin sebagai ibu?

MISHA: Sejujurnya, banyak yang perlu dititikberatkan selepas kelahiran Idris sejak tiga bulan lalu. Dari segi penjagaan sehinggalah tahap kebersihan kawasan tempat tidurnya, saya perlu sentiasa peka dan berjaga-jaga. Justeru, pembahagian masa juga perlu dilakukan dengan betul agar setiap keperluan Idris dapat dipenuhi dengan sempurna.

Apakah perkara-perkara asas yang diamalkan ketika menguruskan Idris?

Tidak seperti bayi yang lahir cukup bulan, Idris memerlukan penjagaan yang agak rapi. Setiap kali mahu menyentuh Idris, saya perlu membasuh tangan dengan bersih terlebih dahulu. Begitu juga ketika saya mahu menukarkan lampin dan memakaikan baju.

Tidakkah anda berasa penat?

Memang penat terutama Idris masih lagi menyusu badan. Tetapi, inilah pengorbanan perlu saya lakukan selepas menerima hadiah yang cukup istimewa daripada Tuhan. Lagipun, suami sangat memahami. Jika sedang bercuti, dia pula yang akan mengambil alih tugas menjaga Idris.

Anda sanggup berulang-alik dari auditorium ke bilik hotel untuk mengepam susu. Adakah anda merancang memberikannya susu untuk jangka masa yang panjang?

Susu ibu merupakan susu terbaik untuk anak. Justeru, selagi Tuhan memberikan rezeki untuk Idris, selagi itu saya akan menyusukannya.

Menyentuh mengenai kejayaan lagu Terimaku Seadanya ke AJL31, adakah anda telah menjangkakan keputusan tersebut?

Lagu ini kuat dan komposisinya juga berat. Sewaktu diberitahu layak ke peringkat separuh akhir, saya tidak yakin untuk menyanyi di atas pentas kerana baru selesai proses berpantang. Saya juga telah menyenaraikan pengganti untuk menggantikan tempat saya pada peringkat separuh akhir. Namun, saya tidak sampai hati kerana Hafiz benar-benar mahukan saya menyanyikan lagu ini bersamanya. Alhamdulillah, lagu ini berjaya mara ke AJL31.

Anda pernah bergelar penyanyi junior dan bersaing di pentas AJL bersama penyanyi senior lain. Kini, situasi telah bertukar dan anda bakal berentap dengan ramai bakat baharu. Bagaimanakah anda melihat situasi tersebut?

Saya tidak pernah meletakkan sebarang harapan mahupun jangkaan terhadap karier. Bagi saya, Tuhan telah mengurniakan sebuah laluan kerjaya sangat adil. Seperti sebuah roda, secara metaforanya ia sentiasa berputar dengan setiap yang berada di bawah akan naik ke atas dan sebaliknya berulang-ulang. Begitu juga dengan kehidupan. Kepelbagaian memberi warna yang berbeza, khususnya apabila industri dimeriahkan dengan kelahiran bakat-bakat baharu sebagai pelaku seni.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu?

Memandangkan anak masih kecil, saya perlu memberi fokus terhadap satu perkara dalam satu masa. Jadi, fokus utama saya sekarang adalah persediaan ke pentas AJL31 yang bakal berlangsung pada 22 Januari 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Untuk album baharu, insya-Allah akan dipasarkan tahun hadapan.

Baca lagi: Kekasih Baharu Misha Omar

LEAVE A REPLY