minyak
Pam minyak dilihat bersebelahan dengan ladang strawberi di Oxnard, California pada 24 Februari 2015 - Foto oleh Reuters

Harga minyak turun 1 peratus lebih rendah pada hari Khamis apabila pasaran pulih daripada kemenangan mengejut bakal presiden US, Donald Trump dan memberi tumpuan kepada kebimbangan lebihan bekalan. Pasaran juga bimbang akan keputusan OPEC akhir bulan ini untuk mengurangkan pengeluaran.

Kebanyakan pasaran mengalami kerugian selepas pilihan raya dan bangkit semula pada hari Khamis, tetapi bekalan minyak masih menghadapi lebihan dan menyebabkan harga yang rendah untuk lebih daripada dua tahun lalu.

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan bermesyuarat di Vienna pada Nov 30 untuk membincangkan mengenai usaha mengurangkan pengeluaran. OPEC juga telah meminta kerjasama daripada negara bukan ahli, termasuk Rusia, tetapi keraguan tetap kekal sama ada mereka boleh mencapai persetujuan.

Brent mentah turun 54 sen, atau 1.1 peratus, pada USD 45.84 setong. Manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) ditutup 61 sen, atau 1.4 peratus lebih rendah pada USD 44.66.

Kebanyakan pedagang melahirkan kebimbangan terhadap WTI yang diniagakan lebih mahal daripada harga pasaran atau contago  kerana terdapatnya lebihan bekalan dalam negeri dan data menunjukkan terdapatnya peningkatan dalam stok simpanan, kata pedagang.

Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) pada Rabu melaporkan kenaikan sebanyak 2.4 juta tong dalam inventori minyak mentah dalam negara kepada 485 juta tong pada minggu lepas.

“Apabila pasaran fizikal lemah, ia mempengaruhi peniaga untuk melindungi pelaburan mereka dan ini yang menghasilkan jualan,” kata Scott Shelton, broker perniagaan tenaga ICAP di Durham, North Carolina.

Pasaran mengalami tekanan walaupun stok simpanan di hab penghantaran US untuk minyak mentah di Cushing, Oklahoma menurun sebanyak 663,916 tong untuk minggu pada 8 November, menurut perkhidmatan pemantauan tenaga Genscape.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata pasaran global akan kekal dalam lebihan kecuali OPEC boleh mencapai persetujuan dalam mesyuarat 30 Nov itu.

“Jika lebihan bekalan berterusan pada tahun 2017, akan ada risiko untuk harga jatuh kembali,” kata IEA dalam laporan bulanannya.

Harga berkemungkinan akan melonjak semula, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, pada hari-hari akan datang dan boleh mencecah atas USD 50 setong apabila pedagang berharap kepada perjanjian OPEC, kata Fawad Razaqzada, penganalisis di Forex.com.

“Walaupun terdapat banyak keraguan mengenai prospek pemotongan pengeluaran atau perjanjian antara OPEC dan Rusia, kemungkinan untuk satu perjanjian masih ada,” katanya.

Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak berkata beliau melihat peluang yang lebih tinggi untuk mencapai persetujuan daripada perjanjian sebelum ini, dan pengeluran minyak mentah global boleh dikurangkan pada November ini jika persetujuan dicapai.

LEAVE A REPLY