minyak
Foto oleh FMT

KETIKA ini media cetak dan sosial sedang hangat memperkatakan keputusan kerajaan untuk memansuhkan subsidi minyak masak berkuat kuasa 1 November 2016. Perkara ini telahpun disebarkan sebelum pengumuman Bajet 2017 lalu.

Apabila pengumuman rasmi dibuat pada 26 Oktober 2016 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkaitan penstrukturan semula harga minyak masak, kerajaan “dituduh” menyembunyikan maklumat tersebut dari pengetahuan orang ramai.

Persoalannya, adakah kita memahami dengan jelas mengapa subsidi minyak masak ini dikurangkan atau kita membiarkan persepsi negatif mempengaruhi pemikiran kita hingga kita mempertikaikan setiap langkah yang diambil oleh kerajaan?

Jika diamati, kita amat beruntung kerana kerajaan mengamalkan langkah pemberian subsidi kepada barangan keperluan seperti gula, minyak masak, petrol dan diesel. Sesungguhnya, subsidi jika dilihat dalam konteks ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya.

subsidi-minyak-masak-dihapuskan-berita-palsu-vitdaily-01-640x384

Namun apabila kerajaan bertindak mengurangkan peruntukan subsidi, kita terus “melatah” tanpa mengetahui rasional di sebalik tindakan yang diambil.

Contohnya isu pengurangan subsidi minyak masak. Ia bukan satu tindakan “tangkap muat” oleh kerajaan. Kajian mendalam telah dibuat oleh pihak KPDNKK dan penstrukturan semula minyak masak itu dilakukan susulan kenaikan harga minyak sawit yang diproses (olein).

Pada Januari 2015, harga olien ialah RM2,341 setiap tan, namun kini ia mencecah RM3,000, peningkatan sebanyak RM600 bagi setiap tan. Langkah itu merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi subsidi kerajaan. Tanpa penstrukturan semula harga minyak masak, kerajaan terpaksa menambah perbelanjaan hampir RM100 juta sebulan untuk menanggung subsidi minyak masak bagi November dan Disember 2016 berikutan kenaikan harga olien, dengan sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kegiatan penyeludupan.

Kita mungkin atau tidak menyedari sama sekali minyak masak bersubsidi keluaran Malaysia sememangnya diakui berkualiti dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di kawasan bersempadan dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Brunei. Permintaan tinggi terhadap minyak masak itu membawa kepada berlakunya aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi tersebut ke negara jiran.

Apa yang mengecewakan ialah aktiviti membawa keluar barangan tersebut didalangi oleh rakyat Malaysia sendiri yang mahu mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda tanpa memikirkan kerugian dialami kerajaan akibat aktiviti seumpama itu dan menyebabkan rakyat tempatan yang sepatutnya menikmati pemberian tersebut dinafikan hak mereka.

Dijangkakan kenaikan harga makanan akan berlaku berikutan pemansuhan subsidi minyak masak. Realitinya, kenaikan harga makanan sering berlaku walaupun subsidi tidak dimansuhkan. Inilah masanya KPDNKK menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk melindungi pengguna dan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati, termasuk tindakan menyorokkan barangan harga kawalan serta menaikkan harga dengan alasan kekurangan bekalan.

minyakmasak

Jadinya, terdapat keperluan bagi kita memikirkan isu subsidi minyak masak ini secara rasional. Langkah kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak bukan bertujuan untuk membebankan rakyat. Sebaliknya, ia merupakan usaha kerajaan bagi menghalang aktiviti penyeludupan yang telah mengaut keuntungan daripada subsidi kerajaan dan sekaligus menyelamatkan berjuta-juta ringgit peruntukan subsidi kerajaan dalam memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban.

Penjimatan yang diperolehi melalui pengurangan subsidi ini juga akan digunakan untuk pembangunan negara yang disalurkan kepada sektor-sektor tertentu seperti sektor kesihatan dan pendidikan yang perlu diberikan perhatian. Langkah penjimatan ini akan membantu meningkatkan hasil perolehan kerajaan.

Dengan peningkatan hasil perolehan tersebut, kerajaan dapat menyalurkan pelbagai bantuan dengan lebih fokus kepada golongan sasaran melalui BR1M, TR1M, KR1M, Baucer Buku 1Malaysia, Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia dan lain-lain bantuan kepada mereka yang layak.

Walaupun sesetengah pihak menyifatkan pemberian bantuan seperti BR1M sebagai “gula-gula” atau rasuah kerajaan kepada rakyat, hakikatnya, bantuan tunai secara one-off ini membantu mengurangkan beban sara hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Jangan kerana dibelenggu ideologi politik sempit, segala usaha dan komitmen yang dilakukan oleh kerajaan dinafikan. Teliti dan fahami sesuatu perkara sebelum menyebarkan tuduhan tanpa usul periksa. Keupayaan kerajaan untuk menyalurkan kembali pelbagai bantuan kepada rakyat mencerminkan kecekapan pengurusan ekonomi negara di sebalik cabaran kelembapan ekonomi dunia.

LEAVE A REPLY