F1

KUALA LUMPUR: Malaysia mempertimbangkan untuk menghentikan penganjuran perlumbaan Grand Prix Formula 1 (F1) selepas tamat kontrak pada 2018, disebabkan kemerosotan jualan tiket dan tontonan televisyen.

Semalam, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkata, tidak ada keputusan akan dibuat mengenai penganjuran F1 dalam minggu ini.

Sebaliknya, hanya pembaharuan lesen lumba motosikal (MotoGP) yang bakal tamat tahun ini, dijangka dimuktamadkan dengan pemegang saham utama SIC, Kementerian Kewangan, pada akhir minggu ini.

“Sebarang salah faham dikesali,” kata SIC dalam satu kenyataan e-mel kepada Bernama pada Isnin.

Menurut laporan Reuters pula, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melalui Twitternya berkata, kos penganjuran perlumbaan F1 terlalu tinggi, sementara pulangannya terhad.

“Apabila kali pertama kita menganjurkan F1, ia amat hebat. Pertama di Asia di luar Jepun. Sekarang ada banyak venue. Tiada kelebihan penggerak pertama. Bukan sesuatu yang baharu.

“Jualan tiket F1 merosot, kadar tontonan TV menurun. Jumlah pengunjung asing berkurangan kerana mereka boleh memilih Singapura, China, Timur Tengah. Pulangan tidak begitu besar,” katanya.

KL14_040815_NBL

Petronas adalah penaja perlumbaan F1 di Kuala Lumpur. Syarikat gas dan minyak negara itu menerima tamparan hebat susulan kejatuhan harga minyak kebelakangan ini.

Ketua Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, jualan tiket F1 merosot sejak 2014 dan laporan awal menunjukkan kadar tontonan televisyen di Malaysia tahun ini terendah dalam sejarah.

“Sebaliknya, lumba motosikal Malaysia (MotoGP) nampaknya lebih berjaya dari segi menarik penonton dan potensi kesan limpahannya,” katanya yang dipetik Bernama pada taklimat media, semalam.

Katanya, beliau tidak akan tergesa-gesa membuat pengumuman mengenai pemberhentian F1 di Malaysia memandangkan syarikat itu mempunyai perjanjian ketat dengan pemegang lesen sehingga 2018.

“Penarikan diri secara sementara daripada F1 (selepas 2018) mungkin memberi manfaat kepada negara. Ketika ini, sesetengah pihak menyatakan produk itu (F1) tidak lagi menarik kerana dikuasai satu pasukan.

“Laporan awal untuk perlumbaan terakhir F1 juga menunjukkan jumlah penonton di Malaysia adalah yang terendah dalam sejarah,” katanya.

Razlan berkata, F1 Singapura juga dilaporkan mencatat penurunan 20% dalam jualan tiket dan beliau membayangkan SIC akan menumpukan pembangunan Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) selepas ini.

Malaysia mula menganjurkan F1 di Sepang pada 1999 dan kali terakhir perlumbaan itu diadakan di negara ini ialah 2 Oktober lalu yang dijuarai pemandu Red Bull Racing, Daniel Ricciardo dari Australia.

Perlumbaan itu dipalit kontroversi selepas 9 lelaki Australia ditahan di litar kerana menayang seluar dalam bercorak Jalur Gemilang bagi meraikan kemenangan pelumba senegara.

Mahkamah Sesyen di Sepang kemudiannya melepaskan mereka dengan amaran, pada 6 Oktober lalu, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan gangguan awam kerana menanggalkan pakaian bagi meraikan kemenangan pelumba senegara.

MotoGP pula acara lumba motosikal terbesar di dunia yang julung kali diadakan di Litar Batu Tiga, Shah Alam, pada 1991 sebelum dipindahkan ke Litar Pasir Gudang, Johor, pada 1998 dan Litar Sepang, pada 1999.

MotoGP Malaysia ke-26 akan berlangsung di SIC, hujung minggu ini, di mana semua tiket sudah habis dijual dan syarikat itu menyasarkan jumlah penonton tertinggi, iaitu 90,000 orang, termasuk di tempat duduk kawasan bukit.

LEAVE A REPLY