Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin akan dipenuhi dengan rakyat berusia yang miskin, sakit dan terpaksa bekerja tanpa sokongan anak atau cucu apabila menjadi ‘negara tua’ menjelang tahun 2035.

Pengarah Urusan yang juga merupakan Ketua Ekonomi DM Analytics, Dr Muhammed Abdul Khalid, berkata keadaan itu akan berlaku jika tiada perubahan atau penyesuaian dasar dilaksanakan ketika ini.

Beliau berkata, tempoh Malaysia dianggarkan menjadi ‘negara tua’, iaitu apabila lebih 15 peratus rakyat berusia 60 tahun ke atas, adalah antara terpantas di dunia, manakala persediaan ke arahnya pula kurang diketengahkan.

Katanya, keadaan diburukkan dengan penurunan kadar kesuburan, yang akan mengurangkan jumlah kanak-kanak menjelang tahun 2050, sekali gus memberi kesan pada keadaan sosial, industri pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi negara.

“Populasi Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas bakal mencecah lebih 15 peratus pada tahun 2035 berbanding lapan peratus ketika ini, hanya dalam tempoh kira-kira 25 tahun…sangat pantas dan jarang berlaku.

“Jika dibandingkan negara lain, Perancis mengambil masa 115 tahun untuk menjadi negara tua, Amerika Syarikat pula 70 tahun, United Kingdom 45 tahun dan Afrika Selatan 40 tahun.

“Keadaan di Malaysia berlaku lebih pantas dan dasar semasa pula tidak bersedia sama sekali untuk menghadapi situasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum ‘Populasi Malaysia Menjelang 2050: Apakah Kesannya Pada Sosioekonomi?’ di ibu pejabat Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), di sini, hari ini.

Selain itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar (Pembangunan Masyarakat) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chua Choon Hwa.

Muhammed berkata, Malaysia perlu memberi penekanan pada peningkatan mobiliti sosial dan jurang ketidaksamarataan supaya setiap rakyat menikmati taraf hidup lebih baik menjelang tahun 2050.

“Banyak kesan negatif jika ia tidak diatasi, termasuk dari segi jangka hayat. Contohnya, lelaki yang tinggal di Kelantan, iaitu negeri miskin, mempunyai jangka hayat lima tahun lebih rendah dari lelaki di Kuala Lumpur (negeri kaya),” katanya.

Sehubungan itu, katanya, dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) perlu fokus ke arah perkara itu dengan menetapkan objektif lebih jelas dan mengambil kira perubahan struktur populasi di Malaysia.

“Sebagai contoh, kita perlu putuskan mahu tambah lebih banyak sekolah atau hospital, tambah lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak atau pusat kebajikan warga emas,” katanya.

Terdapat dua pilihan bagi Malaysia untuk mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi negara apabila Malaysia menjadi negara tua, iaitu sama ada mendesak peningkatan produktiviti atau mengambil pekerja asing.

“Kebanyakan negara lain yang menghadapi masalah sama akan mengambil pekerja asing berkemahiran tinggi, namun Malaysia ketika ini banyak bergantung pada pekerja asing berkemahiran rendah,” katanya.

INFO
Antara isu perlu ditangani menjelang tahun 2050

  • 7.8 juta rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas, menjadikan Malaysia ‘negara tua’
  • Perbezaan kehidupan antara negeri miskin dan kaya berjarak sehingga lima tahun
  • Kekangan kewangan warga emas – 70 peratus miliki kurang RM50,000 apabila bersara, 20 peratus miliki kurang RM7,000
  • 1 daripada 5 orang tidak mampu bertahan lama selepas bersara jika dianggarkan perbelanjaan bulanan pada kadar RM1,000
  • 1 daripada 3 lelaki berusia 65 tahun hingga 69 tahun perlu terus bekerja
  • Pertumbuhan gaji graduan perlahan; hanya dua peratus dari tahun 2007 hingga 2015
  • 1 daripada 3 orang berdepan masalah hipertensi
  • 1 daripada 3 orang memiliki masalah mental, kadar di Kelantan dan Kedah lebih tinggi
  • 1 daripada 5 individu berusia 18 tahun ke bawah memiliki masalah mental
  • 12 peratus kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah berhadapan masalah obesiti
  • 30 peratus kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah terbantut atau kurang berat badan
  • Kadar kesuburan dijangka berkurangan daripada dua anak bagi seorang wanita kepada kepada 1.7 anak

BERITA HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here