Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran

PUTRAJAYA, 31 Okt — Malaysia bercadang mengganggotai Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM) untuk menjalin kerjasama strategik khususnya dalam mengendalikan migran Syria di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata cadangan itu dibincangkan ketika kunjungan hormat Ketua Pengarah IOM William Lacy Swing di pejabatnya di Perdana Putra di sini hari ini.

“Malaysia boleh memperoleh banyak faedah daripada kerjasama strategik ini. IOM juga boleh membantu Malaysia di dalam mengendalikan migran Syria yang telah dan akan tiba di Malaysia ekoran daripada konflik di negara tersebut,” katanya.

Hadir sama ketika pertemuan kira-kira sejam itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dan Ketua Pegawai IOM Elisa Tsakiri.

Malaysia akan menerima 3,000 migran Syria secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian selain atas dasar ihsan dan perikemanusiaan.

Dijangka 500 migran Syria akan tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Ahmad Zahid berkata Malaysia telah menjalin kerjasama dengan IOM sejak tahun 1970-an semasa kebanjiran pelarian-pelarian dari negara Vietnam.

“IOM juga bekerjasama dengan Malaysia di dalam menggubal Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Pemerdagangan Orang bagi tempoh 2010-2015 dan 2016-2020,” katanya.

Walaupun sudah beberapa kali menjalin kerjasama bersama IOM, sehingga kini, Malaysia masih belum menjadi anggota IOM.

Setakat ini, 165 buah negara menjadi anggota kepada IOM manakala di kalangan negara-negara ASEAN, Kemboja, Thailand, Filipina, Myanmar dan Vietnam adalah negara anggota IOM.

Baru-baru ini, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran diiktiraf sebagai satu daripada agensi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) semasa Persidangan Agung PBB ke-71 di New York bulan lepas.

Pengiktirafan itu adalah atas sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh IOM di peringkat antarabangsa di dalam menangani isu migrasi.

IOM menganjurkan kursus-kursus latihan serta bina upaya kepada kementerian dan agensi kerajaan mengenai aspek keselamatan dokumen perjalanan, latihan untuk tenaga pengajar di bidang jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran termasuk kempen-kempen kesedaran umum.

IOM terlibat dari aspek membantu Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB mengenai pelarian untuk saringan kesihatan, bantuan logistik termasuk menempatkan pelarian-pelarian di negara ketiga.

Pertubuhan itu juga menawarkan serta memberikan khidmat kepakaran mengenai aspek pemerdagangan orang, penyeludupan migran serta aspek Imigresen.

LEAVE A REPLY