Malaysia

TINDAKAN yang mendakwa bahawa Malaysia bakal muflis dan merupakan sebuah negara gagal adalah usaha berterusan dilakukan pihak pembangkang terutama Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Persoalannya, kenapa dan apa motifnya Pakatan Harapan terus mendakwa Malaysia adalah negara gagal dan bakal muflis?

Apakah sebenarnya kriteria yang menentukan sesebuah negara itu bakal muflis?

Rakyat perlu mengetahuinya.

Sebenarnya bagi menentukan sesebuah negara itu muflis, asasnya hendaklah berpandukan kepada kesan kemelesetan ekonomi secara berpanjangan.

Dengan kata lain, tiada pelabur asing yang sanggup mengambil risiko membuat pelaburan di negara yang telah diisytiharkan muflis.

Sebaliknya, adakah pelabur asing tidak berani untuk melabur di negara ini?

Adakah tindakan Pakatan Harapan cuba mensabatoj ekonomi negara berjaya menakutkan pelabur asing untuk melakukan pelaburan di negara ini?

Kebelakangan ini, umum dapat melihat, petunjuk positif ekonomi Malaysia makin ketara dan membuka mata semua pihak.

Pelaburan asing yang dibawa masuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencecah RM366 bilion dalam tempoh tujuh bulan dari November 2016 sehingga Mei 2017.

Adakah itu menandakan Malaysia merupakan negara yang gagal?

Mata wang ringgit pula menunjukkan prestasi terbaik di Asia (tidak termasuk Jepun) pada suku kedua tahun 2017, setelah mengukuh 2.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat.

Pada 19 Mei 2017, Laporan Prestasi Ekonomi Malaysia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan perkembangan kepada ekonomi negara.

Ekonomi negara berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2017 berbanding 4.2 peratus bagi tempoh sama pada tahun 2016.

Ia merupakan prestasi terbaik yang dicatatkan sejak suku pertama 2015 iaitu 5.8 peratus.

Ramai pemerhati melihat pencapaian itu sebagai di luar jangkaan pada ketika ekonomi dunia berkembang perlahan.

Banyak lagi petunjuk positif yang semua itu bukan datang bergolek sebaliknya melalui perancangan terbaik dan kerja keras pentadbiran Najib.

Perkembangan ini dengan sendirinya membuktikan bahawa Malaysia tidak muflis dan bukan negara gagal seperti dijaja pemimpin Pakatan Harapan yang sanggup memudaratkan negara demi kepentingan politik sempit.

Malaysia kini berada dalam senarai paling atas negara terbaik untuk pelaburan bagi tahun 2017 melalui bancian oleh firma perunding Amerika Syarikat, BAV Consulting dan Wharton School iaitu fakulti perniagaan di Universiti Pennsylvania.

Bancian itu membabitkan 21,000 responden di empat rantau mengenai prospek pelaburan di 80 buah negara di seluruh dunia dengan Malaysia mencatatkan 30 mata melebihi negara-negara lain pada skala 100 mata.

Negara-negara terbabit dinilai berdasarkan lapan ciri kewajaran utama iaitu rasuah, kedinamikan, kestabilan ekonomi, keusahawanan, persekitaran cukai yang lebih baik, inovasi, tenaga kerja mahir dan kepakaran teknologi.

Malaysia juga adalah salah sebuah negara pada kedudukan teratas dalam menerima pelaburan langsung asing, kerajaannya yang mesra perniagaan turut menawarkan pelbagai insentif kepada pelabur.

Soal selidik itu juga menunjukkan Malaysia telah mencapai dan merentasi pengurusan ekonomi terbaik seperti mana Singapura yang mana negara itu turut berada pada kedudukan kedua dalam kategori tersebut.

Ini yang menjadi persoalan dan boleh dipertikaikan apabila pakatan pembangkang sejak tahun 1990 lagi sehingga kini tidak henti-henti menuduh negara ini akan muflis.

Pakatan pembangkang pada masa sama cuba membina persepsi dalam kalangan rakyat bahawa mereka cuba menyelamatkan Malaysia.

Adakah rakyat tidak berasa hairan dengan tuduhan pembangkang?

Bagaimana Pakatan Harapan mahu menyelamatkan Malaysia sedangkan negara ini berada dalam senarai paling atas negara terbaik untuk pelaburan bagi tahun 2017?

Apakah bentuk hujah yang cuba mereka kemukakan bagi menafikan pencapaian Malaysia itu?

Sememangnya tidak boleh dinafikan pencapaian Malaysia itu kena pada tempatnya apatah lagi jika dikaitkan dengan usaha keras kerajaan.

Usaha terus dilakukan oleh kerajaan pimpinan Najib dan kini melalui konsep negara maju berasaskan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Selain berusaha merealisasikan TN50, Najib juga tidak henti-henti menjelajah seluruh dunia dengan bertujuan membawa masuk secara besar-besaran pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini melalui hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak sekian lama.

Najib juga telah berjaya membawa masuk pelabur Arab Saudi dan China ke dalam beberapa projek mega yang membabitkan berbilion dolar.

Jenis pelaburan yang dilakukan adalah jenis jangka masa panjang dan memberi keuntungan kepada negara tanpa boleh dipertikai lagi kebenarannya.

Sesungguhnya kehadiran pelabur Arab Saudi dan China telah mencipta zon ekonomi yang begitu gemilang buat Malaysia.

Kejayaan itu disifatkan sebagai keadaan dan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kedatangan pelabur dari dua negara itu juga berjaya merancakkan lagi industri yang secara tidak langsung menambahkan peluang pekerjaan untuk rakyat negara ini.

Penglibatan syarikat Saudi Aramco dalam Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor yang membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM30 bilion adalah contoh terbaik bagaimana usaha sama antara Malaysia dan Arab Saudi mampu memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

Begitu juga dengan usaha keras Najib memimpin dan mendahului perancangan China dalam program Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR).

Yakin dengan program yang diterajui oleh China itu, Najib tanpa menoleh ke belakang berjaya membawa masuk pelaburan besar dari China ke negara ini.

Melihat pelabur asing tidak henti-henti masuk ke negara ini, pakatan pembangkang tidak seharusnya menggunakan modal berkaitan isu negara ini akan muflis dan kemudian bangkit mahu menyelamatkan negara.

Apa yang peliknya, pakatan pembangkang mula mengubah serangan mereka dalam isu ini dengan cuba mengaitkan pelaburan yang terlalu besar dengan kedaulatan negara.

Bagi mana-mana negara sekalipun, kedaulatan negara pasti akan dijaga demi negara dan rakyat.

Pembangkang sepatutnya menghentikan segera tuduhan yang tidak berasas itu.

Adakah Pakatan Harapan bertindak sedemikian bagi mengelirukan rakyat?

Rakyat seharuskan tidak keliru dan mudah percaya dengan tuduhan dan dakwaan tidak berasas pembangkang.

Apa yang mereka lakukan semata-mata untuk membuat rakyat marah kepada kerajaan pimpinan Najib dan memberikan sokongan kepada mereka.

Adakah Pakatan Harapan ikhlas mahu membela nasib rakyat di negara ini atau ada muslihat lain yang mengenyangkan perjuangan politik peribadi mereka sendiri?

Rakyat pasti dapat menilainya melalui pelbagai dakwaan dan usaha mensabotaj ekonomi negara yang dilakukan oleh mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here