Sumber imej: FMT

Malaysia akan terus menjadi tumpuan pelabur memandangkan keadaan ekonominya yang stabil, permintaan agregat kukuh dan rangka kerja perniagaan yang baik, kata Ketua Ekonomi International Quality Investments, Shan Saeed.

Menara Berkembar Petronas, KLCC. Sumber foto: petronas.com.my

Penurunan penarafan Petronas oleh Fitch Ratings baru-baru ini tidak akan menjejaskan penarafan kredit berdaulat Malaysia, kata Shan, yang mengunjurkan penanda aras harga minyak mentah Brent meningkat semula ke paras US$100 setong pada suku kedua tahun depan.

“Keyakinan ekonomi akan membantu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia meningkat secara berstruktur.

“Pelabur asing dan tempatan membeli hartanah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Iskandar Johor,” kata Shan pada majlis perangkaian Malaysian Alumni Chapter of the University of Chicago, Booth School of Business, Amerika Syarikat, pada Rabu.

Shan berkata Malaysia terletak di lokasi strategik di rantau ASEAN disebabkan oleh Selat Melaka.

“Lapan puluh peratus bekalan minyak China melalui selat itu.

“Malaysia bersama Vietnam dan Filipina akan menjadi antara ekonomi utama di ASEAN pada 2016 dengan keyakinan ekonomi yang tinggi,” katanya.

Fitch Ratings baru-baru ini menurunkan penarafan mungkir penerbit mata wang asing dan tempatan jangka panjang Petronas kepada ‘A-‘ daripada ‘A’.

Agensi penarafan itu menjangkakan aliran tunai syarikat tersebut kekal lemah, mencerminkan jangkaan pemulihan perlahan harga minyak, perbelanjaan modal dan pembayaran dividen tinggi.

Ia juga menjangkakan minyak mentah Brent berada pada purata US$33 setong tahun ini dan kemudiannya meningkat kepada US$45 setong pada 2017 dan US$55 setong pada 2018.

Pada Khamis, Brent turun 10 cents kepada US$43.37 setong dalam sesi dagangan Asia.

Sementara itu Shan berkata prospek pasaran tenaga adalah positif dan harga dijangka meningkat secara berstruktur.

“Tiada lagi lebihan (minyak) dalam pasaran,” katanya.

Sebaik sahaja harga minyak pulih, Shan berpendapat syarikat minyak termasuk Petronas akan mula mencatatkan keuntungan kerana minyak dan gas adalah keperluan utama bagi mana-mana ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan.

“Malaysia berada di landasan pertumbuhan dan lebih baik berbanding banyak negara di Eropah dan Amerika Selatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here