industri HALAL

SALAH satu objektif Pelan Induk Pembangunan Ketiga (IMP3) adalah menjadikan Malaysia sebagai hab halal global bagi pengeluaran dan perdagangan barangan serta perkhidmatan halal. Industri halal pada dasarnya tidak hanya tertumpu kepada produk makanan halal sahaja seperti yang difahami sebelum ini malahan merangkumi sektor perkhidmatan seperti logistik, pembungkusan, penjenamaan dan pasaran. Ia juga merangkumi produk farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik, kewangan, hiburan, pelaburan, pelancongan dan sebagainya. Ini secara tidak langsung mewujudkan hubungan baru dalam rantaian nilai terutamanya logistik, pelabuhan, perkapalan, penghantaran, kemudahan pengendalian dan gudang.

Industri halal negara mempunyai potensi yang luas sebagai penjana sumber pendapatan yang kompetitif kepada ekonomi negara. Industri ini memberikan sumbangan yang besar serta kukuh kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara dengan penekanan yang diberikan terhadap usaha melahirkan sumber baharu bagi memacu ekonomi. Pasaran global halal yang dianggarkan kini bernilai RM9.3 trilion dan dijangka akan terus berkembang. Menurut Halal Industry Development Corporation (HDC), pada masa kini, industri halal Malaysia dinilaikan pada RM121.1 bilion dan dijangka akan berkembang sebanyak 25 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

halalPerkembangan pesat industri halal Malaysia yang berjaya menembusi pasaran global terutamanya dalam sektor makanan halal telah melonjakkan nama Malaysia, menjadikannya antara negara yang dihormati dan dipandang tinggi. Ia juga menjadikan Malaysia destinasi pilihan untuk memperkembangkan perniagaan berkaitan barangan dan perkhidmatan halal. Malah, laporan State of The Global Islamic Economy 2015/2016 yang diterbitkan oleh Thomson Reuters & Dinar Standard menyenaraikan Malaysia pada kedudukan pertama daripada 15 negara dalam status hab halal bagi tiga sektor iaitu makanan halal, kewangan dan pelancongan Islam.

Statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menunjukkan sebanyak 130 syarikat telah beroperasi di taman industri halal sehingga Ogos 2015 dengan jumlah pelaburan mencecah RM8.5 bilion. Taman industri halal itu juga telah mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan dalam pelbagai industri antaranya pemprosesan makanan, kosmetik, ramuan, farmaseutikal dan ternakan. Terdapat 21 taman industri halal seluruh negara di mana 19 daripadanya berada di bawah seliaan agensi kerajaan pusat serta kerajaan negeri manakala dua lagi adalah milik swasta.

halalIndustri halal di negara ini berpotensi untuk terus berkembang sejajar dengan usaha kerajaan mempromosikannya di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai program. Peranan dan sokongan daripada agensi-agesi kerajaan melalui penganjuran Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Forum Halal Dunia (WHF) misalnya berupaya menarik pelaburan industri halal ke negara ini dan menyokong pertumbuhan penyertaan syarikat Malaysia dalam pasaran halal di peringkat global.

Program Transformasi Ekonomi negara diyakini dapat memberikan nafas baharu kepada industri halal global. Selari dengan hal itu, arah aliran dagangan halal antarabangsa akan meningkatkan kesan daripada jangkaan permintaan global yang bukan sahaja datang dari Asia Barat, malah Amerika Syarikat dan negara Kesatuan Eropah (EU). Dengan jumlah populasi penduduk Islam hampir dua bilion seluruh dunia serta potensi jualan mencecah hampir RM9.2 trilion setahun, industri halal membuka peluang pasaran yang masih lagi belum diteroka sepenuhnya oleh pemain industri halal domestik. Namun begitu, isu-isu yang masih di peringkat pertikaian dan perselisihan perlu diselesaikan segera agar perkara berkenaan tidak merencat transformasi industri halal global.

LEAVE A REPLY