malaysia
Foto oleh FMT

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia dan Polis Filipina bakal menandatangani perjanjian dalam masa terdekat dalam usaha kedua-dua kerajaan itu membanteras jenayah rentas sempadan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata dengan perjanjian ini, ia akan dapat menyaksikan kedua-dua negara bekerjasama membanteras jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata antara yang bakal terkandung dalam perjanjian itu termasuk pertukaran maklumat risikan.

“Ini semua disebabkan oleh keterbukaan kerajaan Filipina sekarang untuk membanteras jenayah rentas sempadan dan mereka sendiri mempercepatkan proses menandatangani perjanjian antara pihaknya dan PDRM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan taklimat keusahawanan Sekretariat Khas untuk Memperkasa Usahawan India (SEED) di Dewan Raya Taman Universiti, Skudai, di sini.

FILIPINA
Militan Abu Sayyaf

Sementara itu, Nur Jazlan menyambut baik sikap keterbukaan dan proaktif kerajaan Filipina untuk mengekang aktiviti keganasan kumpulan militan seperti Abu Sayyaf.

Dalam masa yang sama, perkembangan terbaru ini dapat membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mempertingkatkan lagi kawalan di Timur Sabah.

“Nampaknya usaha untuk menjamin keselamatan di Timur Sabah ini disambut kerajaan Filipina.

“Sebelum, ini usaha Esscom terbatas dan kebanyakannya dibuat di atas darat di Timur Sabah dan kini diperluaskan ke laut,” katanya.

Nur Jazlan berkata masalah sebelum ini ialah apabila perbatasan di laut di sebelah Filipina tidak dikawal selia kerajaannya kerana Malaysia menghormati sempadan antarabangsa.

“Apabila kerajaan Filipina proaktif dalam usaha hendak membanteras kegiatan jenayah kumpulan seperti Abu Sayyaf dan meningkatkan lagi kawalan di sempadan air Filipina dan Malaysia, ini merupakan satu langkah yang baik juga, boleh membantu Esscom dalam menjalankan tugas mereka,” katanya.

Semalam, Komander Esscom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata Esscom bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berikutan pengumuman kerajaan Filipina menghapuskan kumpulan pengganas Abu Sayyaf di kepulauan selatan negara itu secara besar-besaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here