KENYATAAN terbaharu dari Sepang International Circuit ( SIC ) , Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pelancongan yang menggambarkan bahawa berkemungkinan Malaysia tidak lagi akan menganjurkan perlumbaan Formula 1 (F1) di Sepang pada tahun 2018 adalah tepat pada masanya.

Seharusnya alasan dan justifikasi penarikan diri tidak harus dijadikan lecehan dari peminat kerana banyak faktor yang dibentang punyai sebab musabab yang kuat untuk kita sedia untuk tidak menganjurkan lagi perlumbaan F1.

Kos penganjuran yang tinggi bila dinisbahkan dengan pulangan jualan tiket serta kekurangan pulangan pelaboran pengiklanan antara faktor utama punca kita terpaksa menarik diri.

F1
Foto oleh FMT

Kita menganjurkan perlumbaan F1 buat pertama kali pada tahun 1999.

Negara kita adalah yang kedua selepas litar di Jepun yang menganjurkan perlumbaan F1 di Asia.

Fasa 10 tahun pertama perlumbaan F1 ini hanya berlaku di Jepun dan Malaysia. Faktor keterhadan penganjur di negara-negara Asia telah memungkinkan limpahan puluhan ribu peminat untuk membanjiri dua litar ini.

Selain itu, elemen pengiklanan di televisyen dan sirkit telah menyebabkan untuk fasa 10 tahun pertama siri F1 mendapat sambutan.

Namun selepas melihat keuntungan dari segi kewangan dan publisiti percuma dalam sektor pelancongan secara automatiknya, beberapa negara lain di Asia mula menunjukkan minat untuk menganjurkan perlumbaan F1.

Singapura , UAE, Qatar dan China antara negara terbaru di asia yang menganjurkan siri F1.

Kehadiran pesaing baru ini telah menyebabkan peminat dan pelabur sukan punyai lebih banyak pilihan untuk menonton dan melabur pada perlumbaan F1.

Kini F1 tidak lagi ekskelusif untuk negara Jepun dan Malaysia sahaja.

GP SINGAPORE F1/2016

Awal minggu ini, Ketua Eksekutif F1 Bernie Eclestone membayangkan kemungkinan selain negara Malaysia, Singapura juga bakal menarik diri dari menganjurkan perlumbaan F1 pada tahun 2018. Singapura yang tidak sampai 5 tahun menjadi penganjur berkata, matlamat untuk mempromosikan Singapura kepada dunia sudah tercapai.

Apapun, penamatan penganjuran perlumbaan F1 di Sepang bukanlah pengakhiran untuk mana-mana siri perlumbaan yang lain. Sukan permotoran dalam bentuk kereta ini juga punyai peminat yang besar dalam konteks perlumbaan GT Asia yang amat popular sukannya di Jepun, Macau dan lain-lain.

Kita juga punyai kemampuan untuk menganjurkan siri touring car yang popular di Eropah.
Jangan lupa pula kepada produk sukan terbaru MOTOGP yang semakin mendapat sambutan peminat di Malaysia kerana ianya melibatkan kelahiran pelumba negara seperti Khairul Idham Pawi dan lain-lain. Pada bulan lepas, litar Sepang buat pertama kalinya dipenuhi hampir 90 ribu peminat sukan motor apabila kita menganjurkan siri perlumbaan MOTOGP .

Dalam keadaan ekonomi yang perlahan sekarang, seharusnya kita pandai memilih untuk mencari keutamaan bidang sukan yang kurang membebankan dan pada masa yang sama boleh mendatangkan keuntungan.

Azhar Lineker adalah salah seorang pembaca setia Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah merupakan pandangan peribadi beliau.

 

LEAVE A REPLY