asean
Foto hadapan oleh FMT

BEKAS Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, adalah pemimpin pertama ASEAN melawat negara China pada 1974 iaitu kira-kira 42 tahun yang lalu.

Kunjungan itu merupakan suatu legasi yang memudahkan lagi para pemimpin negara selepasnya untuk berhadapan dengan China.

Berdasarkan pertumbuhan dan prospek China sebagai sebuah negara berpenduduk paling ramai di dunia dan kedudukannya dalam konteks ekonomi, pertahanan dan imbangan kuasa serantau, Malaysia perlu rapat dengan China tanpa meninggalkan tradisi diplomasi yang diamalkan sejak negara merdeka 59 tahun lalu.

tun-razak-and-zhou-enlai
Dengan penduduk seramai 1.38 bilion dan pertumbuhan pesat setiap tahun, tiada sebuah negara di dunia pun boleh tidak mempedulikan China lagi.

Begitu juga Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengunjungi Beijing dalam usaha mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang telah sekian lama terjalin.

Najib sebenarnya telah melawat China sebanyak lima kali sebelum ini, iaitu dua kali lawatan rasmi pada tahun 2009 dan 2014, diikuti dengan tiga lawatan kerja pada tahun 2012, 2014 dan 2015.

Jika seseorang pelancong dari Malaysia berkunjung ke Beijing ketika ini, mereka mendapati dalam banyak aspek Beijing jauh lebih hebat dan berpengaruh daripada kota-kota dunia barat di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sendiri.

China dan Malaysia adalah jiran yang berhubung erat dan rakan yang saling mempercayai. Pembangunan hubungan China-Malaysia mendapat manfaat daripada sokongan berterusan kedua-dua kerajaan dan rakyat sejak sekian lama.

China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama tujuh tahun berturut-turut, manakala Malaysia menjadi rakan perdagangan terbesar dalam kalangan negara ASEAN bagi China selama lapan tahun berturut-turut.

Pasti, tidak ada ruginya Malaysia menjalankan hubungan kerjasama dengan China.

Melalui kerjasama erat itu, Malaysia berpeluang melakukan pelaburan dalam sektor ekonomi dan infrastruktur, perkongsian teknologi, kerjasama import-eksport barangan dan komoditi serta mempelajari bagaimana taman perindustrian moden diuruskan di China.

Malaysia juga dapat mempelajari mengenai kemajuan bidang pertanian di China, selain mengeratkan kerjasama dalam pertahanan, pengangkutan dan pendidikan antara kedua-dua negara.

Satu sektor yang begitu penting dan antara fokus Malaysia adalah bidang pelancongan. Tahun lalu sahaja, sebanyak 1.6 juta pelancong dari China melawat destinasi pelancongan di negara ini sekali gus menyumbang sebanyak RM5.7 bilion kepada ekonomi Malaysia.

chinese-tourists-malaysia-01
Ekoran pertumbuhan ekonomi China yang pesat, setiap tahun sekarang sebanyak 128 juta penduduk China melancong ke seluruh dunia dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.2 trilion.

Sewajarnya Malaysia memberikan fokus kepada meningkatkan kedatangan pelancong China ke negara ini. Mungkin tidak keterlaluan boleh ditingkatkan kepada empat juta orang setahun.

Sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai dagangan dua hala sebanyak RM231 bilion setahun, sebarang kelembapan ekonomi di China akan memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Selaku Perdana Menteri, Najib menyedari realiti itu dan berusaha membantu Malaysia dan ahli-ahli perniagaannya beroleh manfaat daripada perkembangan China terutamanya melalui perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik.

Sewaktu mengumumkan Laporan Ekonomi Malaysia 2016/2017, Najib yang juga Menteri Kewangan telah mengenal pasti norma ekonomi baharu di China yang beralih daripada ekonomi yang didorong oleh aktiviti eksport, pembuatan dan pelaburan ke arah ekonomi berasaskan perkhidmatan dan penggunaan domestik.

Corak peralihan penggunaan dan perdagangan China dijangka menyediakan peluang yang signifikan kepada ekonomi Malaysia.

Tiga tahun lalu, hubungan diplomatik Malaysia-China telah dinaik taraf daripada ‘Kerjasama Strategik’ kepada ‘Kerjasama Strategik Komprehensif’ yang kini merangkumi kerjasama dalam segala bidang.

0013729929f1177edb191c

Bukan sesuatu yang sia-sia, tetapi terdapat pelbagai manfaat akan dan bakal dinikmati Malaysia melalui hubungan kerjasama Malaysia-China seperti projek ekonomi, infrastruktur, pendidikan, pertahanan, pengangkutan, teknologi dan pelancongan.

Hubungan Malaysia-China terutama pada waktu ini adalah tepat pada masanya ketika Malaysia menghadapi cabaran hebat ekonomi global dan tuntutan diplomasi semasa.

Apakah masih ada suara sumbang yang mahu mempertikai usaha Najib selain memutarbelitkan fakta keuntungan serta faedah jangka masa pendek dan panjang yang bakal dikecapi negara daripada hubungan dengan China ini?

Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY