Sebanyak 98 peratus majikan di negara ini telah mematuhi Perintah Gaji Minimum 2016 sejak ia dikuatkuasakan pada 1 Julai lalu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata angka itu berdasarkan statistik penguatkuasaan dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang bermula pada 1 Ogos hingga 31 Okt lepas terhadap 7,214 majikan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 7,043 majikan melibatkan 3,793 majikan di Semenanjung, 1,600 (Sabah) dan 1,650 (Sarawak) mematuhi perintah berkenaan.

Katanya hanya dua peratus sahaja majikan didapati tidak patuh perintah itu melibatkan 18 syarikat di Semenanjung, 88 (Sabah) dan 65 (Sarawak).

“Ia merupakan satu perubahan positif yang mereka telah mula mengubah struktur industri dan operasi mereka agar bersesuaian dengar dasar perburuhan negara,” katanya menjawab soalan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Normala ingin tahu sejauh mana penerimaan majikan berhubung Perintah Gaji Minimum 2016.

LEAVE A REPLY