Majlis

Hari ini saya telah mengadakan Majlis Konsultasi Bajet 2018 bagi mendengar cadangan dan pandangan rakyat dalam menggubal Bajet 2018 yang bakal dibentangkan pada Oktober kelak. Majlis konsultasi ini adalah satu platform yang penting bagi sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi pandangan dan maklum balas terhadap cabaran dan isu-isu semasa serta langkah menanganinya. Ini menunjukkan dasar keterbukaan dan keprihatinan kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat.

Pembentangan-pembentangan yang dikemukakan oleh wakil-wakil daripada Bank Dunia, Malaysian Rating Corporation Berhad, Deloitte Southeast Asia, Universiti Malaya dan Catcha Group juga sangat informatif.

Banyak isu yang telah dibangkitkan dan saya memberi jaminan bahawa semua cadangan yang dikemukakan akan diperhalusi serta diberi pertimbangan sewajarnya.
Antaranya, Dr Deepak Mishra daripada Bank Dunia telah mencadangkan agar fokus diberikan kepada peningkatan produktiviti serta pertumbuhan yang lebih inklusif termasuk penambahan tenaga kerja wanita.

Malaysian Rating Corporation Berhad yang diwakili oleh En Nor Zahidi Alias telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5% pada tahun 2018 dan beliau juga mencadangkan agar usaha-usaha diteruskan untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan bagi penduduk bandar bagi menangani isu golongan miskin bandar atau urban poor.

Saya percaya persekitaran global yang berdaya saing boleh kita capai dengan membangunkan semangat keusahawanan yang kuat, digerakkan dengan budaya inovasi dan kreativiti dengan memberi keutamaan kepada ekonomi digital. Untuk itu, kita haruslah lebih proaktif dan agresif menerapkan penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam perniagaan, lantas meningkatkan produktiviti. Digital Malaysia diberi keutamaan yang tinggi dalam agenda kerajaan dan kita akan memperhebatkan inovasi memandangkan ia adalah faktor pembezaan yang memacu keuntungan dan pertumbuhan jangka panjang.

Justeru, saya berasa gembira apabila mendapat maklum balas yang positif berkenaan inisiatif kerajaan seperti Digital Free Trade Zone yang telah disampaikan oleh wakil Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM). Dalam menggalakkan pertumbuhan e-dagang, wakil ACCCIM juga telah mencadangkan peningkatan nilai pengecualian cukai ke atas pembelian atas talian. Saudari Kavita Rekhraj daripada Deloitte Southeast Asia juga telah menekankan kepentingan ‘sharing economy’ dan bagaimana konsep ini boleh memberi manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia. Contohnya, seorang pemandu Uber boleh mendapat pendapatan sebanyak RM4,300 sebulan dan seorang hos dalam platform Airbnb boleh mendapat pendapatan lima angka sebanyak RM17,000 jika mendapat tempahan sebanyak 60 malam.

Berkait rapat dengan topik ekonomi digital ini, Saudara Patrick Grove daripada Catcha Group juga telah mencadangkan Malaysia untuk menjadi negara pertama memperkenalkan rangka kerja berkenaan penghantaran barang menggunakan dron selain mendigitalkan semua perkhidmatan kerajaan dalam meningkatkan kecekapan. Beliau juga menyarankan agar subjek artificial intelligence dijadikan sebahagian daripada kurikulum di sekolah menengah bagi memastikan sistem pendidikan kita menghasilkan pelajar-pelajar yang inovatif. Menurut beliau, ini penting dalam memastikan pelajar kita berupaya berubah mengikut keperluan masa hadapan lebih-lebih lagi untuk mengisi pekerjaan yang kini masih belum wujud lagi.

Topik pendidikan juga banyak dibincangkan tadi. Wakil daripada Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) telah menyampaikan harapan mereka agar peruntukan biasiswa dan geran bagi pelajar universiti swasta berdasarkan merit diwujudkan lebih-lebih kepada golongan berpendapatan rendah dan kurang upaya. Mereka juga berharap agar kerajaan meningkatkan peruntukan buat latihan vokasional.

Saya juga telah berkongsi dengan hadirin di Majlis Konsultasi Bajet berkenaan prestasi ekonomi negara di mana bagi suku pertama 2017, ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus, dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM17 bilion, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, perlombongan dan pembuatan. Saya yakin ekonomi negara akan kekal stabil dan kukuh dengan pertumbuhan yang positif, hasil daripada dasar-dasar yang digubal kerajaan.

Akhir sekali, saya ingin merakamkan penghargaan kepada 236 wakil institusi yang hadir dan telah menyumbang kepada perbincangan yang sangat intensif dan produktif pagi tadi. Insya-Allah, kerajaan akan membentangkan bajet yang prihatin terhadap masalah rakyat serta progresif dalam memastikan negara terus maju membangun ke arah TN50.

YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak

SHARE
Previous articleMaria Farida Pilih Watak Demi Suami
Next articleDua Suspek Militan IS Ditahan Di Sandakan (VIDEO)
Seorang kolumnis bebas yang berasal dari hutan batu KL. Ruang lingkup dunia tanpa sempadan pada masa kini menjadikan saya sebagai seorang kaki travel bajet dan 'foodie in the making'. Pada masa bosan-bosan akan melayan update 'trending' netizen... Saya sangat berminat dengan perkembangan pertahanan dan politik domestik serta global. Nak berbalah boleh tapi biarlah dalam 'mode' yang bertamadun ye...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here