Majikan

PUTRAJAYA  — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu majikan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam membantu merealisasikan lima Lonjakan Transformasi Pekerja yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata kerajaan akan menganjurkan pameran kerja Job Fair @ UTC 2.0 dan akan dilancarkan secara besar-besaran pada 20 Mei ini di 11 Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan empat Pusat JobsMalaysia seluruh negara yang akan menawarkan kira-kira 20,000 kekosongan jawatan melibatkan 300 majikan.

“Seboleh-bolehnya berilah peluang kepada pekerja warga Malaysia. Janganlah beri pekerjaan kepada warga asing sahaja. Berilah keutamaan kepada pekerja tempatan,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh 5,000 pekerja yang hadir mendengar amanat Hari Pekerja 2017 beliau di sini, hari ini.

Najib berkata satu daripada Lonjakan Transformasi Pekerja yang ditekankan ialah memperkasakan agensi penyedia perkhidmatan pekerjaan awam iaitu kerajaan sedang mengkaji semula peranan JobsMalaysia Centre, supaya lebih interaktif, efektif dan mesra pelanggan serta dapat berperanan aktif sebagai pemudahcara dalam menjalankan padanan pekerjaan antara pencari kerja dan majikan.

Di bawah lonjakan transformasi pekerja itu juga, perdana menteri melancarkan OKU Talent Enhancement Programme (OTEP) bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran Orang Kurang Upaya (OKU).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here