Mahkamah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman misfeasans oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi berhubung dakwaan salah guna kuasa jawatan awam ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Abu Bakar Jais memutuskan bahawa Najib, sebagai perdana menteri, bukan seorang penjawat awam.

Beliau kemudiannya membenarkan permohonan Najib untuk menolak saman itu dan mengarahkan Dr Mahathir, bersama-sama dengan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin membayar kos sebanyak RM30,000.

Peguam Mahathir, Haniff Khatri Abdulla berkata mereka akan merayu keputusan itu.

Dengan keputusan hari ini, Dr Mahathir dan individu lain tidak lagi boleh menyaman Najib kerana beliau bukan seorang pegawai awam atau penjawat awam.

Hakim membuat keputusan itu di dalam kamar dan memutuskan untuk membatalkan saman berkenaan tanpa mendengar merit permohonan.

Najib di wakili oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Pada 23 Mac tahun lalu, Dr Mahathir dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin, 41, selaku pihak plaintif, memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan salah laku.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here