Mahkamah Khas Siber

PETALING JAYA : Kabinet telah menerima cadangan untuk mewujudkan sebuah Mahkamah Khas Siber untuk menghukum kesalahan jenayah di bawah undang-undang siber, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.

Beliau berkata Mahkamah Khas Siber yang dicadangkan ini akan beroperasi seperti mahkamah khas lain, seperti mahkamah khas untuk rasuah, anti-pencatutan dan alam sekitar.

“Hakim-hakim yang pakar dalam perundangan jenayah siber akan mendengar kes-kes yang berkaitan dengan undang-undang siber,” kata Azalina dalam satu kenyataan pada Rabu lepas.

Beliau berkata fasa pertama pelaksanaan mahkamah khas ini akan berjalan apabila ia  memulakan operasinya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada bulan September.

Fasa seterusnya akan melibatkan operasi mahkamah khas ini di Selangor dan Johor, katanya, sambil menambah bahawa ini adalah kerana ketiga-tiga kawasan yang mencatat jumlah tertinggi dalam kes jenayah siber.

Azalina berkata pada fasa akhir, mahkamah khas ini akan diwujudkan di negeri-negeri lain seluruh Malaysia.

“Hakim-hakim dan pelbagai pihak yang terlibat akan diberi latihan yang komprehensif dan mencukupi untuk memastikan mahkamah dapat berfungsi dengan baik,” kata Azalina.

Beliau berkata Kerajaan merasakan ini adalah masa yang tepat untuk mewujudkan sebuah Mahkamah Khas Siber berikutan trend membimbangkan dalam serangan siber, seperti hacking, penipuan dalam talian, botnet, web defacement, kecurian maklumat, pengintipan, judi siber, pornografi dan lain-lain.

“Kerajaan juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang berkenaan, termasuk badan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata memorandum Kabinet mengenai isu itu akan dibahaskan tidak lama lagi, sambil menambah bahawa Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

LEAVE A REPLY