BERSIH
Foto oleh FMT

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tampil dengan video baharu memberikan amanatnya menjelang perhimpunan Bersih 5 Sabtu ini, kali kedua beliau menunjukkan sokongan kepada pergerakan itu selepas meluangkan masa singkat menghadiri Bersih 4 tahun lalu.

“Malaysia sekarang berada dalam keadaan cemas kerana pentadbiran Datuk Seri Najib menyebabkan negara berhutang berbilion ringgit yang tak dapat dibayar oleh kerajaan dan negara,” kata bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu, siap berpakaian baju-T kuning.

“Kita perlu menunjuk perasaan tidak puas hati kita kepada kerajaan melaui penyertaan demonstrasi oleh pihak Bersih di Dataran Merdeka dan juga di tempat-tempat lain yang ditentukan,” katanya.

Tahun lalu, Dr Mahathir membuat kejutan apabila hadir bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali ketika ribuan peserta meneruskan perhimpunan 2 hari di sekitar Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, ketika itu, Dr Mahathir berkata kehadirannya tidak bermakna beliau menyokong kesemua tuntutan gabungan itu.

Dalam video berdurasi 1:40 minit itu, Dr Mahathir berharap semua rakyat Malaysia menyokong perhimpunan itu, yang kelima diadakan sejak demonstrasi pertama pada 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum yang menyaksikan kemenangan besar pembangkang.

Perhimpunan Sabtu ini bertujuan memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, susulan kontroversi 1MDB yang kini berdepan siasatan pihak berkuasa di Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Polis sebelum ini memberi amaran akan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi meleraikan sebarang kekacauan pada perhimpunan itu, susulan ancaman daripada kumpulan Baju Merah diketuai Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos.

LEAVE A REPLY