Mahathir

SIAPA Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menguasai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terus menjadi persoalan dan juga bahan sendaan ramai.

Kesediaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad menimbang untuk menyandang jawatan itu sebenarnya menambah kusut masai dan kekalutan di dalam Pakatan Harapan sendiri.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM) serta Mohamad Sabu (PAN) telah dicalonkan untuk memegang jawatan itu.

Siapa lagi calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan yang diketuai DAP?

Apa yang menarik perhatian di sini adalah kesediaan Mahathir untuk kembali menjawat jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan ingin beliau berbuat demikian.

Persoalannya, adakah komponen Pakatan Harapan terutama DAP akan memilih Mahathir sebagai Perdana Menteri mewakili mereka?

Mahathir sebenarnya perlu memastikan partinya dan Pakatan Harapan sendiri menang PRU-14 kelak jika ingin kembali berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Jika menang, adakah Pakatan Harapan akan memilih Mahathir kerana mereka telah pun menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri mereka?

Sesungguhnya, semua pihak harus sedar tidak akan ada tempat untuk Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang.

Perkara itu perlu dipersetujui oleh semua komponen dalam Pakatan Harapan.

Dari segi amalannya, parti mana yang menang majoriti, parti itu berhak memilih siapa Perdana Menteri.

Adakah PPBM sendiri boleh menang dalam kerusi majoriti dalam Pakatan Harapan pada PRU kali ini?

Jika tidak menang, apakah parti yang akan diwakili Mahathir untuk dilantik menjadi Perdana Menteri kepada Pakatan Harapan?

Belum lagi memerintah, sudah terlalu banyak petunjuk kegagalan pada Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Mahathir diperangkap dan dimalukan dalam Konvensyen PKR apabila semua pemimpin Pakatan Harapan mengangkat plakad menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-7.

Bagaimanapun Penasihat PPBM itu dilihat enggan berbuat demikian sekali gus dilihat tamparan besar kepada PKR.

Pada Mahathir, Anwar sebenarnya tetap tidak layak sebagai Perdana Menteri kerana isu moral dan akhlak seperti yang pernah ditegaskannya berulang kali.

Kini, tidak lama selepas insiden mengangkat plakad Anwar, Mahathir seperti mahu memulakan tindak balas.

Apa pun, percaturan antara Mahathir dan Anwar, kuasa menentukan siapa Perdana Menteri sebenarnya adalah pada Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Jangan dinafikan DAP adalah parti paling berkuasa kerana mempunyai majoriti kerusi Parlimen dalam Pakatan Harapan yang dijangka sama keadaannya pada PRU-14.

Kit Siang boleh memilih siapa sahaja sebagai Perdana Menteri termasuk Mat Sabu, yang paling dipercayainya.

Walaupun DAP menerima Mahathir dan PPBM sebagai gabungan Pakatan Harapan, namun pastinya DAP tidak sesekali akan memilih Mahathir sebagai Perdana Menteri mewakili pakatan itu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng sebelum ini berkata, DAP sudah mula menerima kehadiran Mahathir selepas hampir setahun menyertai pembangkang melawan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lip Eng memaklumkan, kebanyakan pemimpin dan ahli DAP menyedari Mahathir sudah insaf dan tidak bermain wayang dengan Pakatan Harapan.

Jelasnya, masa juga sudah menunjukkan Mahathir bukan buat wayang lagi namun betul-betul ikhlas dalam perjuangan bersama Pakatan Harapan.

“Mahathir juga ada sebut beliau sudah insaf. Saya rasa kebanyakan walaupun bukan semua ahli dan penyokong DAP yang lawan Mahathir sebelum ini tahu beliau sudah berubah, malah beliau juga tahu apa yang betul apa dan yang tak betul,” kata Ahli Parlimen DAP itu.

Bagaimanapun, untuk calon Perdana Menteri, pucuk pimpinan DAP tetap dengan keputusan memilih Anwar.

Apa maknanya DAP menerima Mahathir dalam gabungan Pakatan Harapan?

Pada usia mencecah 92 tahun, adakah Mahathir sebenarnya hanya dipergunakan DAP untuk Pakatan Harapan memperoleh undi Melayu dan menang pada PRU-14?

Amat tidak logik untuk DAP yang mengetuai Pakatan Harapan atau PKR sendiri akan membiarkan Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Mungkin ada dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan cuba memberi angan-angan kepada Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi perkara itu hanya menjadi propaganda politik untuk menarik perhatian rakyat.

Adakah DAP atau PKR sedia memberikan PPBM agihan kerusi paling banyak pada PRU-14 sehingga membolehkan Mahathir berhak menuntut jawatan Perdana Menteri?

Adakah Mahathir sedar diri bahawa beliau sedang dipermain-mainkan oleh pihak yang mengimpikan kuasa memerintah negara?

Mereka sedang cuba menggunakan imej bekas Perdana Menteri itu untuk berdepan Barisan Nasional (BN).

Sudah tentu Mahathir menjangkakan dengan menjalin hubungan baik dan memuji-muji DAP, PAN dan PKR, maka pihak Pakatan Harapan akan menerimanya dengan mudah.

Sepanjang Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, apa yang dia tidak dilakukannya terhadap pembangkang?

Adakah perkara itu akan dilupakan dengan mudah oleh Pakatan Harapan terutama oleh Lim Kit Siang?

Dalam politik dan selagi belum dapat apa yang mereka inginkan, pastinya Mahathir akan terus diperkuda DAP.

Selagi belum berjaya merampas kuasa dari BN, mereka akan terus bermuka-muka dengan Mahathir.

Ketika bersama, pemimpin seperti Kit Siang dan Mat Sabu serta pemimpin Pakatan Harapan yang lain akan tersenyum ketika bersama Mahathir.

Tetapi di belakang, adakah Mahathir tahu apa yang diperkatakan?

Adakah Mahathir tahu apa perancangan DAP, PAN dan PKR yang bermotif mengejar kuasa itu?

Mahathir perlu sedar, beliau kini tidak lagi berkuasa seperti dahulu.

Tidak semua percaturan dilakukannya betul. Jangan sampai percaturan itu memakan dirinya sendiri dan akhirnya kaum sendiri yang menjadi mangsa.

Hakikatnya, siapa sebenarnya yang sedang dipergunakan?

Episod seterusnya dalam politik Pakatan Harapan pasti dinantikan semua.

Paling penting, Mahathir sebenarnya boleh segera berhenti bermimpi untuk sekali lagi menjadi perdana menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here