Lewis Hamilton
Foto FOX Sports

SAO PAULO – Lewis Hamilton memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Brazil yang berlangsung penuh mendebarkan, awal pagi tadi, sekali gus mengheret pemburuan kejuaraan dunia bersama Nico Rosberg ke pusingan terakhir di Abu Dhabi.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut juara dunia tiga kali itu yang bermula daripada petak utama, namun lebih manis pertama kali di Brazil dan kini hanya dibezakan 12 mata dengan Rosberg yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Rosberg boleh mengesahkan kejuaraan dunia andai memenangi perlumbaan di Interlagos yang berlangsung dalam keadaan hujan namun gagal menghalang rakan sepasukannya dari Mercedes AMG PETRONAS itu daripada melepasi garisan penamat selaku juara.

“Saya hanya berlumba seperti biasa ketika mendahului,” kata Hamilton yang kini mengumpul 52 kemenangan sepanjang karier F1 dan meletakkannya di kedudukan kedua keseluruhan di belakang juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher (91).

“Apabila keadaan hujan, kebiasaannya ia hari yang baik untuk saya…secara keseluruhan, ia perlumbaan yang amat mudah. Ia agak seperti biasa,” kata pelumba yang sering mencetus kontroversi kelahiran Britain itu.

Bermula di petak utama, Lewis Hamilton memimpin sepanjang perlumbaan dan satu-satunya drama yang dibuatnya ialah menukar helmet yang bertemakan legenda F1, Ayrton Senna pada hentian pertama.

“Tiada kesilapan, tiada isu,” katanya.

Begitupun perlumbaan berlangsung penuh drama yang menyaksikan perlumbaan terpaksa dihentikan dua kali dan dimulakan semula termasuk lima kereta keselamatan terpaksa memasuki litar.

Rosberg dalam pada itu mengakui keadaan tidak memihak dirinya di Brazil.

“Ia tidak berjalan seperti yang saya harapkan iaitu untuk menang, Lewis melakukan kerja yang hebat,” katanya yang turut berdepan situasi apabila jenteranya turut berpusing.

“Keadaan di sini amat sukar. Saya boleh menerima kedudukan tempat kedua hari ini, sudah pasti.”

Begitupun, Rosberg tetap boleh mengesahkan kejuaraan dunia pada perlumbaan terakhir nanti sekiranya berdiri di atas podium di Litar Yas Marina.

Melengkapkan kedudukan di GP Brazil ialah pelumba Red Bull, Max Verstappen.

Perlumbaan di GP Abu Dhabi dijadual 27 November ini. – Reuters

LEAVE A REPLY