jambatan
Foto hadapan oleh FMT

GEORGE TOWN: Seorang peniaga yang berdepan hukuman penjara 4 bulan kerana menjual rokok seludup dikhuatiri terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah semalam, selepas kiriman di Facebook meluahkan kemarahan terhadap kerajaan malah menasihati pembangkang khususnya PAS.

Usaha mencari di perairan dekat Batu Maung bagaimanapun hanya menemui motorsikal milik lelaki berasal dari Tasek Gelugor, Butteworth itu.

Sebelum itu, pemilik kedai runcit itu memuat naik kiriman di Facebook mengecam pihak berkuasa dan kerajaan kerana tindakan ke atasnya.

“Ya aku mengaku salah perkara itu salah…tapi hukumannya tak setimpal. Yang pengarah tibai berjuta boleh lepas pula dengan duit jaminan. *** punya pimpinan kerajaan sekarang, berniaga kedai runcit kampung je, bukan untung besar pun,” katanya dalam apa yang didakwa sebagai nota terakhir ditujukan kepada isteri dan sahabat.

“Ku tak sanggup lagi menyusahkan orang dengan meminjam duit. Mula ku pilih untuk dipenjara tapi terkenangkan anak nanti digelar anak banduan. Ya Allah, ampuni dosaku,” tulisnya.

Dia mendakwa pernah ditahan pada 2012 kerana memiliki rokok seludup bernilai RM160, dan sekali lagi pada Februari lalu.

penang_bridge_jumper_20161026_620_448_100

Status Facebooknya menjadi viral di Whatsapp, bagaimanapun polis tidak menerima apa-apa laporan orang hilang daripada ahli keluarga.

Nota Facebook itu turut diakhiri dengan kritikan terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana semakin rapat dengan Umno.

“Yang terakhir buat presiden PAS, janganlah tertipu dengan pimpinan Umno, depa wayang jer kata sokong rang undang-undang yang nak dibawa itu agar pembangkang berpecah. Bersatulah kembali menjadi pembangkang kuat agar nasib macam aku terbela.”

Beberapa jam selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menemui motorsikal Modenas miliknya di atas jambatan pagi semalam, iaitu hari sama lelaki itu perlu hadir ke mahkamah.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata pencarian akan diteruskan dan yakin mayat akan ditemui sekiranya benar lelaki itu membunuh diri.

“Kami sedia maklum nota lelaki itu kini viral. Kami tidak dapat memberikan komen kerana ia bukan di bawah kuasa kami,” kata Pengarah Daerah II APMM Pulau Pinang, Kapten Rozali Mohd Said.

Menurut Rozali, sejumlah 17 kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang dilaporkan pada tahun ini, bagaimanapun kes melibatkan lelaki itu merupakan yang pertama.

LEAVE A REPLY